2 Hari Bersama

Ibuku pernah memberitahuku, tatkala aku kecil aku pernah menangis usai sahaja tersedar dari mimpi, lalu aku berkata kepada ibuku yang dia telah mengalahkan aku. Tetapi hal zaman kecil dahulu, tidak pula ku mampu ingat nostalgia itu.

Pulangnya aku kali ini adalah seperti biasa, pulang dengan jalan yang sama, pemandangan yang sama, tiada apa yang berbeza di mata, tetapi ada sesuatu yang terkesan dijiwa.

Turutan dia adalah yang kelima, sedang aku pula di nombor 3, lalu aku sedikit bangga walaupun sekadar dudukku hanya lebih sedikit dari dia. Pulangku kali ini menyaksikan aku hilang rasa bangga, tetapi terasa sedikit teruja, melihatkan dia semakin berbeza.

Jika diukur dari fizikalnya, ku pastinya sudah jauh ketinggalan, walaupun jarak itu berangka 4, tidak mungkin ku dapat tandinginya. Kadang-kadang terasa iri hati, tetapi ku hanya mampu ketawa didalam hati, masakan diri membesar dengan baik, sedang makanan yang di jamah itu tidak berkhasiat. Mungkin juga genetik dirinya sama seperti saudaranya yang satu itu, kerana banyak juga persamaan di antara mereka.

Tetapi fizikalnya bukan menjadi perhatianku, yang ku lihat yang ku lihat perkembangan jiwanya, ilmunya dan sikapnya. Dia telah melalui peristiwa-peristiwa yang lebih awal dariku, sewaktu aku sebaya dengannya, mungkin juga itu yang menjadi lebih padanya. Kulihat pada diri, terasa bersalahnya diri, kerana tidak mengenali dirinya, walaupun selalu ku dekat dengannya secara zahir, tetapi hati tidak terikat sama.

Seringkali aku terkilan dengan diri, kerana gagal menjadi pencetus kehebatan fikrahnya, pembentuk kegagahan sahsiahnya, dan contoh kepada akhlak yang mulia. Ku teringat dengan 'sang murabbi', dengan caranya mendidik saudara kandung dan keluarganya, halus, jujur dan bersahaja.

Moga kau sentiasa istiqamah dalam hidup, terima kasih kepadamu, kerana menyedarkan aku. Bila diri menyedari ada yang berterusan mengejar diri, ku tahu aku mesti kembali berlari, setelah lama diri terhenti.



'Sang Murabbi'..mencari spirit yang hilang

Biah itu menyeksa

Terfikir sebentar dikala melangkah ke perpustakaan. Tentang diri, terasa semakin jauh, kadang-kadang melampai batas. Satu sebabnya yang diri sendiri maklum, biah sekeliling yang selalu menekan. Kadang-kadang terasa agak kecewa, mengapa tidak tempatku ini mempunyai biah seperti yang didamba.

Lalu seperti sudah menduga, aku diberi jawapan dalam kuliah hadith oleh Ustaz Yusuf, menurutnya ada satu perbahasan ulama' dalam hadith niat iaitu dalam bab adakah seseorang muslim itu mendapat pahala sekiranya dia meninggalkan dosa tanpa niat. Lalu seorang ulama' yang bernama al-hafiz Ibn Hajar al-Asqalani yang mengarang kitab Fathul Bari menyatakan, "Sesiapa yang meninggalkan sesuatu perkara tanpa sebarang niat, tiada pahala baginya, tetapi diberi pahala bagi sesiapa yang menghalang dirinya dari perkara-perkara itu ketika terlintas dihatinya untuk melakukan maksiat, lalu ditahan dirinya kerana takutkan Allah."

Mungkin biah ini tidak membina, tetapi peluang untuk mendapat pahala itu amatlah besar sekiranya diri bermujahadah dan bersabar, di samping melakukan amal ma'ruf nahi mungkar. Tetapi, entah diri berdaya, la haula wala quwwata illa billah..






wassalam

Berhenti Menzalimi Diri




Jika telur pon beraneka, apatah lagi ragam manusia


Teringatku akan kisah perumpamaan yang menceritakan ragam manusia dalam menghadapi tekanan dalam hidup. Telur, lobak, dan biji kopi apabila direndam didalam kepanasan air , 3 perumpaan respon manusia dalam menghadapi tekanan. Baik dalam apa sahaja diri manusia berada, sama ada dia berjuang dalam jamaah, mencari cinta manusia , mengejar cita-cita, ataupun menyediakan diri untuk mencapai standard yang diletakkan manusia.

Tetapi semudah itukah kita menilai manusia, jika dia mengeras seperti telur, maka dia kalah? Ataupun jika dia menjadi lembut maka dia lemah? Dan jika dia bertambah sedap kerana kepanasan seperti kopi itu, adakah itu yang sebaiknya? Bukankah manusia menilai dengan persepsi yang berbeza. Boleh jadi dia menjadi keras, tetapi kerasnya itu dalam menentang maksiat? Dan jika dia melembut, jika lembut itu adalah hatinya, bagaimana pula? Dan adakah hanya kepanasan itu sahaja indicator dugaan, bagaimana pula kesejukan?


Bagi diri, tekanan paling menekan adalah pabila ingin mencapai standard yang diletakkan diri sendiri, ataupun untuk memenuhi expactation orang yang terdekat. Terutama apabila memegang sesuatu amanah, di posisi itulah selalunya penyakit kefuturan paling mudah membelit hati dan menumbangkan manusia. Aku sendiri hampir futur beberapa kali, entah dimana silapnya, mungkin juga semua ahli yang berjuang menegakkan pengertian hukumiah dalam tauhid seperti yang disebut oleh As-syahid Sayyid Qutb juga mesti mengalaminya? Adakah begitu, hanya orang yang memahami sahaja yang selalu menjawabnya.

Satu jawapan yang sering berdetik dalam hati, "Engkau selalu kalah dengan tekanan kerana engkau tidak ikhlas beramal kerana Allah". Namun, puas hati kecilku menasihati, entah bila ianya akan didengari oleh diriku. Nafsu cintakan dunia, mengharapkan balasan, dan menggantungkan harapan selain dari Allah, semua itu sudah beribu kali diucap oleh hati kecil, tetapi manusia ini tetap tidak mampu memahami dan mengerti.

Kita hanya mampu berusaha, jadi janganlah menzalimi diri. Diri menunggu sahaja tiba masanya sahabat-sahabatku pulih dengan dirinya, tetapi jika dia gugur jua, tidak akan ku turut jalannnya.
Sungguh dunia ini telah Allah ciptakan dengan sebaik-baiknya, tetapi mengapa ada sahaja masalah yang menimpa manusia? Mengapa tidak dicipta sahaja dunia aman tanpa masalah? Apakah tidak berkuasanya Allah? Tidak, Allah sangat berkuasa. Jawapannya, dunia ini adalah dunia yang dicipta sempurna oleh Allah, tetapi dunia ini sempurna dicipta kerana ianya sempurna untuk menguji manusia, bukan untuk hal yang sia-sia.


Kukutip satu kata-kata : "berasa beruntunglah jika engkau menghadapi dugaan dan cabaran, kerana hadirnya cabaran dan dugaan itu menunjukkan engkau masih hidup".

Wassalam.

Kisah Manusia





"hurm..". Kedengaran dengusan kecil dari mulut tuan ku.Entah mengapa kurasakan dengusan itu ditahan-tahan keluar dari dadanya, dan pastinya tuan ku itu menghadap masalah yang besar.

Hari itu hari Sabtu, hari bersejarah bagiku, begitu juga bagi tuan ku itu, tetapi warna yang dipilihnya, hitam atau putih, kuserahkan kepada tuan ku yang merupakan makhluk yang pelupa itu yang menentukannya.

Tuan ku berjalan dengan tenang ke mesin ATM yang lain, dicuba sekali lagi kad yang bewarna putih itu, tetapi tidak berjaya. Dicuba lagi di bank yang lain pula,tetapi hampa. Sah, engkau rosak kad! Dan engkau perlu diperbaiki. Tetapi tunggu sebentar; hari ini hari Sabtu,minggu tidak bekerja, siapa pula yang sudi membantu tuan ku membetulkan kadnya itu di bank? Kulihat tuan ku mengeluarkan dompet coklatnya, kempis. Sudah ku agak akan isi dalamnya.Hanya beberapa keping syiling, wang kertas langsung tiada. Namun tuan ku tiada reaksi di mukanya.

"Aduh kad, mengapa engkau rosak? Tidakkah kau tahu bahawa engkau sahaja harapannya? Dia sedang ketiadaan wang sekarang."Kad menjawab, "masakan aku tahu mengapa, aku hanya duduk di dalam dompet sahaja. Jika kau tidak percaya tanyalah pada si coklat itu. Cipku mungkin teroksida sendiri, bukankah kau tahu bahawa tuan kita mempunyai masalah hyperhydrolisis palma?". Aku menangis , mengenangkan tuan ku itu. Mengenangkan dia terperangkap di kota penuh maksiat ini tanpa wang yang cukup walaupun sekadar tambang untuk pulang ke tempat belajarnya. Wang RM 2 itupun tiada didalam poketnya! Aku menangis, kerana aku juga bersamanya! Tuan termenung, dan aku termenung sama.

Tiba-tiba tuan mengorak langkah, dan pastinya aku tergerak sama kerana aku berada di bawah telapak kakinya. Dia berjalan pulang. Apa? Pulang dengan berjalan kaki? Dengan jarak lebih 20 km itu?Di bawah terik matahari ini? Bukankah perlu melalui bukit bukau dan hutan simpan barulah sampai ke sana? Aduh, sudah gilakah tuan ku ini?

Tuan ku nekad berjalan kaki. Entah mengapa die enggan meminta tolong dari kawan-kawannya? Mungkin dia malu kerana terlalu banyak sudah dia meminta? Ataupun tuan hanya mempunyai beberapa sahabat setia? Yang mereka itu tuan tidak sanggup menyusahkan? Alahai manusia, kompleksnya dirimu.

Kakinya terus melangkah menuju ke destinasi. Di panas bahang matahari, asap , debu, pasir semua diharungnya.Tuan ku tidak mempedulikan sekalian kenderaan yang lalu di tepinya tatkala dia berjalan menyisir jalan besar bersama-samaku untuk pulang. Beberapa kali ku berteriak, kepada semua kenderaan yang lalu, supaya menumpangkan tuan ku, tetapi masakan bahasaku di fahami, jeritanku didengari, kerana aku hanya selipar yang bernama Asadi.

Dalam perjalanan itu sesekali ku mendengar tuan ku teresak-esak sendiri, tetapi seringkali esakan itu diselangi dengan kalimah memarahi diri, dinasihatkan dirinya sendiri untuk bersabar kerana katanya, apalah yang hendak di bandingkan ujian ini dengan derita sahabat-sahabat dan Rasul dalam menegakkan Deen suci.Lalu dia tenang semula, dan terus berjalan dengan upaya yang tersisa. Hampir sahaja dia dilanggar lori dan kenderaan, yang melaju tanpa mempedulikan pejalan kaki yang keseorangan itu, tetapi syukur ajal tuan belum sampai lagi.

Tanpa ku duga, sebuah kereta bewarna merah berhenti, bertanyakan arah tujuan perjalanan tuan ku. Lalu dijemputlah tuan setelah dia memberi jawapan yang bermajaz. Hanya tuhan yang tahu, betapa leganya aku,dan dalam masa yang sama, ku tahu betapa tuan ku malu. Tuan memilih untuk berhenti di masjid, tidak tertahan lagi dia menahan malu untuk menghantar terus ke tempat belajarnya. Tuan ku dan pakcik itu solat zuhur, dan setelah pakcik itu berlalu, barulah tuan menyambung perjalanannya. Selepas itu, tiada lagi suara kedengaran, kecuali suara kesyukuran kerana dapat pulang dengan selamat.

Esoknya, tatkala dia ingin ke surau, dia menelitiku. Ada anggotaku yang sudah terputus dek kerana penat bermusafir. Sekali lagi dia bermonolog, menasihati diri, jangan difikir kesusahan yang melanda, kerana ia mungkin membawa kepada putus asa kepada Tuhan. Tetapi ingatlah nikmatNya, supaya hidup dalam kesyukuran.



Saksi hari itu.














Entah kalian faham atau tidak akan perihalku ini, Seeru fi barakatillah.

Ar-Rizk


Assalam,
Tidak ku tahu apa muqaddimah yang baik buatku, tetapi seperti di suruh-suruh untuk menulis tentang satu sifat yang semakin hilang dari kanvas kehidupan dunia, padam dari senarai sifat orang 'Islam', semakin pudar dalam penghayatan manusia yang mengatakan merekalah pejuang di jalanNya, bahkan tidak mampu ku hayati walau secebis darinya.

Moga dengan kutulis sifat ini, menjadi peringatan kepada diri, supaya bersifat dengan sifat muslim sejati. Sifat Ar-Rizk, mungkin sesekali ditafsir oleh sesetengah manusia ialah sifat pemurah, tetapi sifat ini telah ditafsir dengan maksud lain oleh ulama' antaranya Ustaz Zulkifli Ismail yang memberi tafsiran iaitu sifat penyantun, lemah lembut, sopan santun kepada sesama manusia semata-mata kerana Allah. Insan yang bersifat Ar-Rizk tidak boleh tidak untuk jujur dan ikhlas menyantun dihadapan manusia, semata-mata untuk membuktikan cintanya kepada Rabb.

Tatkala dia berkata-kata, semua kalimah ditapis moga tiada yang terluka, tika melakukan perkara, dipastikan perbuatannya itu tetap santun hatta membuka pintu dan menutupnya juga dicuba sebaiknya tiada bunyi terhasil darinya,kerana khuatir ada manusia sakit hati mendengar bunyinya, tatkala meminta bantuan,tidak pernah keluar nada mengarah manusia, walaupun diminta bantuan dari isteri ataupun hamba sahayanya, terlalu banyak contoh untuk disebut untuk menggambar sifat mulia ini.

Manusia bersifat ar-Rizk sentiasa menahan kemampuannya untuk membalas kejahatan manusia lain terhadapnya, jika dia mampu membunuh ditukar dengan hukuman sahaja, jika dia mampu memberi penampar diganti dengan cubitan sahaja, jika dia berhak mengherdik dan meninggi suara, dipilihnya untuk berlembut dalam memberi teguran. Semua haknya diketepikan, semata-mata mencari redhaNya. Hanya ulama' sejati sahaja yang memiliki sifat selembut ini, entah bilakah diriku mampu bersifat sebegitu.

Namun diatas kesantunan itu, tidak menghalang dari sifat cemburu dan marah terbakar terhadap maksiat yang dilakukan kepada Allah. Apabila orang yang dikatakan penyantun, tetapi tidak bersikap responsif terhadap maksiat, maka tidak dilayak digelar memiliki sifat Ar-Rizk. Insan sebegini lebih marahkan anaknya sebagai contoh jika anaknya tidak solat atau melakukan maksiat lebih dari jika anaknya memecahkan pasu bunga ataupon meranapkan keretanya.
Contoh terbaik pastinya Rasullullah yang sentiasa sopan dalam berhubungan. Tetapi terasa ingin membawa contoh sahabat, Khalifah Umar ibn Al-Khattab. Pada satu malam beliau meronda didalam kegelapan seorang diri, untuk melihat nasib rakyatnya di kota Madinah. Apabila sampai di hujung kota, dilihatnya seorang lelaki bersama khemahnya sedang kesedihan. Lalu bertanyalah Umar,"wahai saudara,siapakah kamu dan mengapa kamu bersedih? ". Lalu dijawab "aku baru sampai di kota ini, aku berhijrah ke sini kerana aku mendengar ada seorang pemerintah yang adil dan aku ingin bernaung dibawahnya" tanpa mengetahui Umar ada di depan matanya. Lalu dia menyambung " aku bersedih kerana kerana isteriku didalam khemah hendak bersalin tetapi tiada siapa yang ku tahu meminta bantuan untuk membidankan dia". Lalu Umar bergegas mencari isterinya sendiri (bayangkan pemerintah tidak sesuka hati memerintah rakyatnya yang lain) lalu dikatakan dengan sopan dan bukan dalam nada mengarah, "wahai isteriku, adakah engkau mahu mendapat pahala dikala kegelapan malam ini,jika engkau mahu marilah engkau mengikutku". Amatlah sukar mendapat pemerintah sesantun ini, dengan isterinya turut beliau bersantun. Pergilah mereka berdua ketempat itu tadi sambil Umar sendiri membawakan makanan untuk musafir itu. Apabila selesai membidankan, lalu isterinya yang telah terbiasa memanggilnya dengan gelaran Amirul Mukminin berteriak, " ya Amirul Mukminin, khabarkan kepada sahabatmu itu bahawa dia telah mendapat anak lelaki" . Terkejutlah lelaki tadi itu mendengarkannya lalu dia bertanya,"engkaukah pemimpin yang adil yang disanjungi rakyat itu? engkaukah..." dan berbagai-bagai pertanyaan tetapi Umar al-Khattab hanya bersahaja dan terus bangkit dan berkata, " aku ingin menyediakan makanan untuk kita semua"

Moga aku dapat menghayati sifat ini..