Seminar bersama Sheikh al-Qodahi


Baru sahaja usai berseminar, di Masjid Shah Alam, dengan tajuk Seminar Baldatun Toyyibah, Model Andalusia. Seminar yang membincangkan untuk menghidupkan semula tradisi negeri Islam pertama yang syahid,seperti mana yang diungkapkan oleh Prof Madya Dr Ahmad Zaki,untuk di interpretasikan semula dalam pentadbiran negeri Selangor.

Menarik juga, apabila disogokkan dengan perbincangan ilmiah, maklumlah diri yang jakun sedikit, namun sedikit sebanyak terkenang negeri yang dicintai, entah bila negeriku dapat menjadi matang seperti itu,sedangkan ada dari kalangan pembentang yang mengatakan sudah agak terlewat untuk berdiskusi tentang tradisi Al-Andalusia ini, tetapi bagaimana negeriku? Bukankah lebih jauh jangkauan vakum kecicirannya?

Adalah sesuatu yang amat penting peranan pemimpin yang bijaksana yang berteraskan ilmu yang kukuh dan mantap untuk membawa rakyatnya ke arah kehidupan yang di redhai. Lihat sahaja tradisi ilmu pemimpin zaman dulu, bagaimana Al-Hakam, pemimpin zaman Andalus ketika itu yang memiliki 400 000 buah buku, yang semuanya telah hadam di bacanya sehingga di gelar kutu buku? Bagaimana pula Amir Yahya bin Ibrahim yang memutuskan untuk mewakilkan pemerintahan seketika kepada anaknya tatkala dia sendiri keluar mencari ulama' sehingga berguru dengan al-Imam Abu Imran al-Fasi dalam bidang ilmu fiqh di bandar Qairawan, Maghribi?

Penghormatan terhadap ulama' sangat tinggi, sehingga tidak akan digelar sesuatu kawasan itu sebagai istana (bukan bermaksud tempat tinggal khalifah sahaja), sehingga didalamnya tinggal sekurang-kurangnya ulama atau fuqaha' yang muktabar. Khalifah Abdul Rahman III pernah di tegur kerana tertinggal solat jumaat oleh seorang Qadi bernama Munzir al-Balluti. Ketika ditanya oleh puteranya samada beliau mahu memecat Qadi tersebut Sultan menjawab, : "aku lebih rela memutuskan hubungan denganmu, tapi aku tidak akan memecat Qadi ini yang merupakan nikmat Allah SWT kepada kita semua. Aku akan solat Jumaat dibelakangnya selagi dia masih hidup"

Jika itu sikap pemimpin mereka, tidak hairanlah jika pada abad itu, di bandar Cordoba sahaja terdapat 500 000 penduduk memiliki 700 masjid, 70 perpustakaan awam , 50 hospital yang semuanya percuma, yang pastinya berkelas dunia. Terlalu banyak lagi perkara yang boleh diperah dari ketamadunan Andalusia dahulu.

Ada satu petikan yang menarik dari pembentang; " jika dilihat dari sudut kesedaran minda dan pengetahuan masyarakat dalam kesediaan membuat perubahan, Selangor agak seimbang dengan negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Perak dan Kedah, melebihi negeri-negeri di pantai barat tetapi tidak mengatasi kesedaran membuat perubahan oleh masyarakat negeri Kelantan umpamanya"

Namun agak janggal, kerana diri dan sahabat sahaja yang kelihatan dari golongan muda, audiens yang lain dari golongan tua, namun wacana dari perwakilan sangat di kagumi, mungkin ahli dari Persatuan Ulama Malaysia sahaja yang berada di sana, sedang kami tercampak seketika. Agak kesian juga dengan seorang ustazah (mungkin tarafnya nenek kepada kami), yang berbicara di sesi soal jawab,sudahlah lama berceloteh di pembesar suara, hampir 5 minit mungkin, rupa-rupanya bukan hendak bertanya soalan, sekadar memberi komen sahaja, (isk3).Lantas kami jadikan dia bahan ketawa, entah apa dosa nenek itu kepada kami, mungkin dosa mencuri masa pembentang agaknya.Seronok juga berada dengan orang tua, mungkin kerana seperti ada sebab untuk tidak serius sentiasa, kerana kami orang muda.
Moga diskusi membuahkan hasil, tidak terhenti begitu sahaja. Sahabatku sheikh al-Qodahi (bukan nama sebenar) sangat terkesan sehingga berazam memiliki sekurang-kurangnya separuh dari koleksi al-Hakam, tetapi tebal bukunya tidak ku tahu di tahap mana, entah di setebal buku tulis sekolah atau tebal kamus dewan bahasa.

Silapku dalam berpakaian


Segala puji kepada Allah, Pemberi nikmat tidak ternilai, Pengurnia kepada segala kebolehan, dan kelebihan kepada manusia, yang Maha Sabar, dan Maha Pemurah kepada hamba-hambaNYA, walaupun sudah menggunung kefasadan dan kemaksiatan yang di lakukan oleh insan yang kufur kepada nikmatnya. Bahkan ada hadith dari Rasul al-Mustofa yang bermaksud, "seluruh kefasadan(maksiat) yang telah terkumpul di bumi ini sudah melayakkan Allah untuk memusnahkannya". Namun hanya atas sifat kasih Tuhan kepada makhluknya, kasih kepada kanak-kanak, wanita, dan orang tua, maka dengan itu ditangguhkan kehancuran itu ke hari kelak.

Hampir separuh purnama aku seperti hilang sesuatu, lalu baru ku sedari pagi ini, atas alasan apa aku terpaku seperti itu. Selama ini tidak ku sedari, aku memakai pakaian yang salah, pakaian seorang penghukum, bukan seorang pendakwah yang mendokong, entah mengapa, mungkin kerana warna pakaian itu sama, menyebabakan aku tersalah memilihnya, lantas terus-terusan selesa dengannya.

Ku lihat sahabatku yang tidak solat, kulihat pula kenalan yang makin menjauh, kulihat mereka yang lalai dengan perniagaan yang tidak tahu asas hukumnya, kulihat segala-galanya, lalu ku hukum. Ku hukum mereka, tanpa belas kasihan. Diri semakin ego, mengenangkan jika ku berdebat dengan mereka, pasti bertubi-tubi hujah yang akan menghujani mereka, tetapi aku lupa, mereka pasti tidak berasa apa-apa, dan sebenarnya aku juga yang kalah dengan mereka. Ku hukum, lalu diri sendiri terhukum, masakan tidak, manusia ada naik dan turun iman mereka.

Ingin ku cari, pakaian yang ku hilang selama hampir separuh bulan ini, moga dengannya tidak ku depani masyarakat dengan hukuman yang kulemparkan, tetapi ku depani dengan hikmah dan kebijaksanaan.

Terasa diri ingin menolak satu jenis tawaran...

Si pipit

Ku punya satu cerita,yang ku bina dalam kemalasan diri meneruskan pembacaan dikala senggang. Cerita tentang si kecil pipit.Ketidakfahaman diri dalam merencana kehidupan turut menyumbang taipan ini.Tetapi itu bukan focusnya

Si pipit kecil itu terbang ke udara, dalam kedamaian cuaca yang menyamankan, lalu singgah di tepian jendela, di rumah manusia yang sedang berkeluh kesah di tepinya. Dari tingkat lima rumah itu, di dengarnya semua jenis keluhan dari insan itu. Lalu dengan perlahan pipit bersuara, "engkau tahu apa tentang masalah dunia wahai manusia..."

Terkejutlah insan yang sedang bersedih-sedihan, sehingga jatuh ia dari kamar tempat dia menghabiskan sepertiga hidupnya, namun gelabahnya tidak lama. Lalu tatkala usai reaksinya, dia berkata," Hairan ku wahai pipit, rupanya engkau reti bersuara?"

Di balas dengan suara genit tetapi sudah memadai sampai ke gegendang manusia itu," Aku sudah lama boleh bersuara, sudah ku hadam semua bahasa manusia, cuma kalian sahaja tidak memahami ku. Mungkin hari ini sahaja Tuhan kita membuka hijab, semoga kamu dapat mendengar kalamku sebentar"

"Ah manusia, bahana engkau terima sedikit sahaja. Setakat kekurangan dana dalam hidup untuk mencari keperluanmu, seremeh gelojak hati dicemuh dicaci oleh manusia yang benci akan perihalmu, sekecil sakitmu kerana penyakit yang diutus tuhan mengkafarahkan dosamu,itu yang kamu sedihkan?"

"Lalu apa penafsiran tentang derita itu apa pula disisimu?", tanya si homo sapien itu, kaget dengan si kecil itu.

"Tiada ingin aku huraikan aku dengan kata-kata. Cuma aku burung biasa, yang hidup dari keluarga biasa, di taman bunga yang harum mewangi. Namun pada satu hari, sekumpulan bangsat datang ketaman kami, menjarah bunga-bunga di sana, dihujani kami batu-batuan berbisa, yang membuatkan kami langsung tidak bermaya. Saudara-saudaraku disembelih, ibu bapaku dicabut bulunya, sedang aku pula dipaksa melihat sendiri apa yang diperlakukan ke atas mereka tanpa upaya ku gerakkan apa-apa. Sehingga kini aku masih menahan bisa, parut yang dalam seperti barah yang tiada peluang sembuh semula,sungguh pedih rasanya."

Lalu terus menjadi gasar suaranya, dengan menjerit, "tetapi yang ku benci, semua hidupan disekelilingku hanya melihat dan mencaci maki si syaitan itu tanpa ada tindakan bersama. Masakan ada perubahan jika hanya diharapkan tenaga yang ada dalam gelombang bunyi itu menghalau penceroboh itu semudahnya? Jika dulu ada manusia yang ingin membantu kami, di habisi mereka sehingga mati pemimpinnya. Sungguh kamu bangsa yang kejam lagi hina ! Sanggup kamu membiarkan kami sebegini sedang kamu bersedapan didunia? Kerana engkau semua yang hanyut dalam assobiyah sesama makhluk didunia,lantas kami terus rosak direnggut sejahat-jahat manusia! "

Si pipit pergi, tinggal manusia dungu terpinga-pinga.