Kepupusan Melayu

Sedang kebosanan, maka ditaiplah entry ini. Adapun baru sahaja usai membaca bacaan meredakan kepala. Maka sukalah dikongsi akan isi-isinya. Tentang syarat busana melayu, yang dinukilkan dalam novel itu, kata seorang ulama berketurunan Cina di zaman kesultanan Melayu negeriku. Katanya, :

"Syarat pertama busana Melayu itu hendaklah pantang membuka aurat. Sesiapa memakai, tetapi terbuka aurat, tanda iman sudah berkarat. Tanda orang tidak semenggah, berkain baju, terdedah-dedah. Barangsiapa memakai singkap-menyingkap, tanda dirinya tidak beradab. Adat orang Melayu jati,berkain baju berhati-hati........

Syarat kedua busana Melayu itu pantang kainnya nipis. Apabila berkain baju yang tipis, disitulah tempat setan dan iblis. Apabila memakai terlalu jarang, malu tak ada aib pun hilang. Sesiapa memakai akan pakaian yang tembus mata, tanda dirinya didalam nista.
....Syarat ketiga busana melayu itu mestilah pantang ia berpotongan ketat. Tiada boleh sama sekali menampak lekuk atau liku ditubuh. Ingatlah apabila memakai yang ketat-ketat, agama hilang binasa adat. Barang siapa berbaju sempit, imannya malap jiwanya sakit. Ingatlah anakanda Muhammad, tanda Melayu memegang adat pantang dia berbaju ketat. Tanda orang beriman teguh, pakaian sempit memang dijauh....

Itulah yang hendak ayahanda nyatakan tentang syarat keempat busana Melayu. Pantang ia mengada-ngada. Membuat baju harus sejudu, jangan suka tiru-meniru, supayatak hilang maruah Melayu. Apabila memakai tahukan diri, supaya tak lupa diri sendiri, kala memakai elok menurut adat kelak tidak membawa mudarat. Ingatlah jika memakai elok menutupi badan, supaya tidak disusupi setan.

..........Syarat kelima busana Melayu itu dilarang sekali memandai-mandai kerana apabila berpakaian memandai-mandai, aib tersingkap malu terburai....."

Dipetik dari Manikam Kalbu,
Faisal Tehrani, Dewan Bahasa dan Pustaka,
2007.

Berapa ramaikah sekarang yang boleh digelar Melayu? Sedang luarannya tidak begitu, mungkin kerana katanya imannya didalam hati sentiasa tidak mahu ditayang-tayang selalu..

Nasi kosong


Malam itu hati si kenit terketar-ketar. Dia hadir ke dalam "smart circle" . Hadirnya awal, sengaja diawalkan kedatangannya, dengan doa dia tidak gugup apabila berkumpul bersama. Perlahan-lahan dia bertatih dengan tongkatnya, tongkat sejatinya, yang menemani dirinya dimana sahaja dia melangkah, walaupun sesekali jatuh menyembam bumi.

Sang Naqeb melangkah. Aduh, dengupan jantungnya makin sasau.Aktiviti berjalan seperti biasa. Selesai berbicara suasana hening. Diam. Tiada teman berbicara, maka si kenit meraup mukanya, lega. Tiba-tiba sang naqeb garau bersuara " hari ini kita ada modul khas melengkapkan ukhwah. Makan nasi kosong sehingga habis. Bagi siapa yang tidak habis sama-sama kita bantu dia. Boleh sahabat-sahabat.........!? " ."boleh~!", sahut mereka bersemangat. Dihidangkan nasi sekawah entah di mana sang Naqeb sempat menempah, lalu modul berlalu seperti biasa. Argh, si kenit kecewa.

Selang tiga kali suapan, si kenit tersedak. Dengan suara serak berkata, "ana tidak mampu sheikh, ana tak kuat makan." Dilihat Sang Naqeb lahap memakan nasi putih bersama sahabat, tidak mendengar suaranya. Dicubanya lagi. Kali ini, kali kelima dia berhenti. Sedikit merayu, dia berkata, "ana tidak mampu sheikh, ana habiskan sedikit ini sudahlah", sambil memandang setalam nasi lagi yang perlu dihabiskan dalam modul itu.

Si kawan sedikit menjeling semacam marah, tetapi terus menyudahkan suapan masing-masing. Si kenit terasa sebak, tetapi terus dicuba mengunyah nasi itu. Dicubanya lagi pada sang Naqeb, "sheikh, ana bawa nasi ini balik, esok dan lusa ana cuba habiskan. Hari ini setakat ini sahaja boleh? ". Dilihat Sang Naqeb senyap, tiada respon langsung darinya.

Si kenit teringat kata-kata Sang Naqeb di tamrin dahulu, terngiang-ngiang di telinganya. " ingat, kita ini dalam zon selesa, jangan bazirkan nasi itu.Ingat sahabat-sahabat kita di Palestin. Belajar menghargai hidup. Habiskan ! Ingat, nasi itu tak perlukan kita, kita yang perlukan nasi untuk hidup!". Lalu di bantah dalam hati, bukan dirinya menolak nasi, tetapi bukankah sudah terbukti sepanjang mereka berkenalan dirinya gagal memanfaatkan nasi? Kemampuannya menyuap hanya sedikit ! Bukankah pimpinan melihat siapa yang patut menghabiskan nasi itu adalah seorang yang besar, kuat dan lahap dalam menyuap makanan?

Dia tersedak, tersembur beberapa butir nasi di udara. Sang Naqeb tersenyum, lalu berkata, "inilah masa yang ana maksudkan tadi membantu bagi mereka yang tidak mampu. Marilah kita suapkan sahabat kita ini..." . Lalu mereka beramai-ramai mengepal nasi, menyumbat di mulut si kenit. Si kenit mengunyah pada mulanya, tetapi mereka menyuap tanpa henti. Si kenit berkata "berhenti, diriku tidak mampu". Namun semakin rakus mereka menyuap. Dia menjerit lagi , "tolong, aku tidak mampu. Aku ada penyakit diabetes melitus, tidak boleh mengambil nasi terlalu banyak. Tolonglah, aku tidak mampu~", dirinyamerayu.

Seperti biasa, tidak diendahkan permintaan si kenit, maka makin berduyun-duyunlah mereka dengan kepalan nasi ditangan, menyumbat-nyumbat mulut si kenit dengan nasi, si kenit cuba meronta, tetapi apakah daya, air mata yang mengalir juga tidak menyekat mereka, lalu dialirkan sahaja di dalam hati sahaja. "alhamdulillah, selesai. Ana pulang dulu", kata sang Naqeb. Sahabatnya turut bersama keluar, tinggal si kenit seorang diri, terkulat-kulat dengan mulut dipenuhi nasi.

Sambil menangis, dia berfikir, mengapa sahabat-sahabatnya yang soleh-soleh itu memaksanya sebegitu rupa? Dia berfikir, panjang dia berfikir, tiada jawapan dari mindanya. Di akhir malam, barulah teringat, dirinya bisu rupanya, tiada mampu mengeluar suara, suaranya tidak di dengar, hanya telinganya sahaja yang berfungsi selama ini, barulah dia sedar akan kedudukan dirinya sebenarnya.

Si jahat bernombor 41


Sudah lama tidak kulihat ruangan ini. Sengaja dan malas, terasa lelah untuk menaip, seolah tiada mampu menekan kekunci hitam pekat itu, mungkin kerana tiada rasa dalam qalb,jadi kubiarkan sahaja, kerana masakan bolehku menulis dengan hati yang berat sebegitu.

Kelas ku minggu ini seperti biasa, cuma terlewat sedikit melangkah masuk ke tempat menadah curahan salju, kerana terjatuh kantuk disisi sejadah selepas solat duha yang nyaman. Subjek ku juga seperti biasa, 4 jumlah semuanya, yang semuanya memerlukan tumpuan maksima dalam menghadapnya, disamping juga tugasan karangan sepuluh muka, yang entah bila ku bisa menaipnya.

Namun ada 2 perkara sangat menjentik hatiku hari itu. Aku, apalagi reaksiku, sebak sentiasa. Kadang-kadang bosan juga, tetapi entah mengapa, aku suka menitiskan cecair sedikit likat bergaram itu secara senyap-senyap sendiri. Tatkala si Dr pensyarah sedang lazat memberitahuku tentang fakta-fakta dan ilmu, terus ia menyedarkanku, yang aku selama ini sangat jahil, kerana mengkritik manusia tanpa ada pengetahuan tentang mereka.

4 sosok tubuh manusia ku belajar hari itu, semuanya pimpinan yang tidak pernah ku jumpa atau lihat sendiri dengan tatapan mataku, apatah lagi mendapat peluang mencium tangan mereka. Seorang yang ku tuduh berhaluan kiri, sedang rupanya mempunyai PhD dalam bidang agama dan berilmu tinggi, seorang ku label dalam hati yang berfikrah pejuang melayu pula rupa-rupanya memiliki ilmu siasah syariyyah yang tidak terjangkau oleh cetek akalku, seorang yang lain pula merupakan alim ulama yang menyebabkan ku sesal kerana lambat mengenalinya, dan paling ku kagum, seorang pencetus gerakan mahasiswa Islam, yang pendidikan formalnya dari awal ke akhir hingga berjaya menjadi doktor pertama di Tanah Melayu semuanya di sekolah mubaligh kristian, namun cekal hatinya, kukuh imannya, kuat jati dirinya menyebabkan aku terjelepuk jatuh di dalam bayangan sendiri, betapa jauhnya dirinya dengan diriku,terusku menutup mata,menangis sendiri.





Ku pujuk diri, masih ada masa menjadi manusia. Yang penting untuk menjadi manusia yang baik perlulah mengenal siapa musuh siapa teman, dan untuk kali ini aku menamakan salah satu musuh ketatku..makhluk yang bernombor 41, bukan 'arancar' atau apa-apa yang sedang dalam fikiranmu, tetapi percayalah aku ingin memenggal kepalanya sebelum ku heret adiknya sama.