Luahan Rasa


Adakah sekadar di bulan ini Valentine sahaja yang perlu dibantai dan disita? Entah tidak ku memahami cara fikir mereka-mereka di sesetengah kawasan dalam negara bernama Malaysia. Benarkah Valentine sangat berkesan dalam hati Muslim sehingga dianggap jika di sanggah secara gila-gila maka wujudlah negara aman dan sentosa tanpa masalah sosial yang melata?

Sudah jadi fenomena pula, dimana-mana, bahkan di universiti penulis sehingga di jaja kempen anti itu dan ini semacam ia sangat-sangat dekat dan melekat dalam hati pelajar di sana? Bukankah elok sekiranya kos itu disalur kearah yang lebih membina? Sebagai contoh wacana mudah tentang apa yang terjadi di dunia al-Jazair sebelah sana? Ataupun buka sedikit minda bincang hal beza sains Newtonian melawan sains jerman yang pasti malu-malu kucing tidak popular dalam kalangan remaja? Moga kita menjadi insan cemerlang, sehingga di akhirat sana.

Ceritera


Di ceritakan pada suatu hari seorang lelaki yang miskin berjalan-jalan disebuah padang pasir yang sangat luas. Dalam kepanasan itu dia terasa sangat letih, bibirnya kering, kepalanya seolah mendidih,hampir-hampir sahaja dia pengsan.

Abdullah sudah berputus asa. Dalam perasaan itu dia tersilap langkah lalu jatuh diatas padang pasir yang sangat panas membahang. Lantas dia menumbuk-numbuk pasir,sesal dengan nasibnya.

Tetapi tiba-tiba dia terdengar sesuatu. Ah, bukankah itu bunyi air menderu!? Abdullah lantas berlari berpandukan nikmat telinganya, terus dia berjumpa dengan satu oasis yang padanya adalah Syurga!

Setelah bersedap-sedapan didalam air yang sejuk dan mendamaikan,dia kembali kedaratan, wajahnya ceria bak rembulan. Bukan itu sahaja, dia terjumpa makanan yang lazat dan menyelerakan, yang bersepahan disekelilingnya harta emas yang menyilaukan. Sungguh jika dia tidak mempunyai keluarga, sudah pasti oasis itu tidak akan ditinggalkan.

Setelah siap dengan semua bekalan, lantas dia berjalan berpandukan jam tangan berkompas yang entah dimana dia dapatkan, menuju kembali ke arah rumah yang sudah lama ditinggalkan. Hatinya girang, tiada gusar yang dirasakan. Namun sudah lumrah manusia, hidupnya satu ujian, lantas dia dihasut syaitan.

Terlintas dalam benakknya, pasti dia akan diapa-apakan, ataupun hidupnya tidak keruan, jika sahabat-handai dan kaum keluarga berdekatan melihatnya kaya-raya, bukan papa kedana seperti masa mereka itu ditinggalkan. Setelah berfikir panjang, lalu diambil keputusan, untuk menanam harta itu dengan tanda bayang-bayang segumpal awan, dengan hasrat satu masa nanti dia akan kembali menuntut habuan yang ditinggalkan.

Setelah sepurnama berlalu, dia kembali mencari harta yang disimpan, didalam perut padang pasir yang ganas dan buas kepada semua hidupan. Abdullah hampa, kerana tiada dijumpa awan yang memegang kunci tempat harta itu disemadikan,lantas dia tiada keruan.
Berjalan-jalanlah ia seperti haiwan, dengan harapan berjumpa semula dengan syurga didaratan, namun tidak kesampaian, kerana dia mati dipadang pasir keseorangan.
Adaptasi kisah Mulla Nasrudin, moga dapat mengambil pengajaran.

‘Tubuh itu “milik” mereka

Hari berlalu,
Engkau semakin dewasa,
Semakin dekat jua ke sana,
Entahkan kau ingat ataupun lupa.
Engkau mengkagumi susuk ‘tubuh’ itu,
Lantas segala kudrat dikerah kearahnya,
Dan segala pemikiran dan keringat dibuat modal berniaga,
Dengan niat agar tercapai cita-cita yang diidam bersama.

Tetapi engkau lupa!
‘Tubuh’ itu ‘milik’ mereka,
Mereka itulah yang menahan derita,
Bersusah payah membelanya, membangun dalam dan luarannya,
Bekorban diri, masa dan harta,
Sedang yang terbunuh juga bukan perkara luar biasa.

Disini bukan persoalan yang benar harus dinyata,
Pokoknya engkau sudah hilang adab tatasusila,
Apa hakmu mengata-ngata,
Menerajang mereka dengan kata nista,
Busuk jiwamu dek kotoran cela menghina,
Sedang dirimu sendiri terlalu banyak cacat dan cela.

Sudah,
Berhentilah dan insaf anak muda,
Kerana Tuhan telah menzahirkan petanda,
Supaya kau berhenti sebelum engkau binasa.

Atas Perintah Siapa?


Entah dari mana aku membaca, tetapi ada satu perkara mengingatkan aku kembali tentang isinya. Ianya tentang ciri-ciri pemerintahan, atau pengurusan, ah biarkah sahaja, yang penting sekarang adalah pokok perbincangan, sedang istilah dan epistimologi itu aku mahu hindarkan sebentar.

Cara pertama orang memerintah adalah dengan sepenuh kekuasaan, dengan gaya diktator yang menolak semua bantuan dan idea lain yang dalam pengurusannya, ataupun diambil idea yang baik sahaja sedang kemahuan orang bawahan ditolak serta merta.

Yang kedua, lebih demokrasi, dengan cara diambil kira pendapat orang bawahan, cuma keputusan tetap di tangan dirinya. Dalam versi yang lain pula, menerima idea orang lain, atau meminjamnya, sedang konsep pelaksanaan tetap dipilih sendiri, dengan meminta bantuan nasihat dan pandangan orang lain. Nisbahnya mungkin 70:30, atau 60:40, atau mungkin juga ratio dengan nilai-nilai yang berlainan.

Terakhir pula, (menurut diri ini yang terakhir, sedang jika ada penambahan silalah lakukan) adalah pemerintah atau ketua yang menabur proses membuat keputusan itu kepada seluruh anak buah atau orang bawahannya untuk dilakukan dengan gaya atau apa-apa cara menurut mereka, sedang dia melepas tangan, memerhati (ataupun tidak) dari jauh sahaja. Tidak perlulah digambarkan dengan lebih terperinci tentang spesies ini.

Mengapa diri menulis tentang perkara ini? Supaya mengingatkan orang bahawa kadang-kadang kerja yang kita lakukan perlu mengikut keperluan dan arahan dari ketua yang sedang menerajui, bukan dengan sesuka hati? Adakah itu tujuannya? Fikirlah sendiri..

Pilihan

Manusia hidup dengan dua keadaan. Satu keadaan, jalan dihadapan sudah sedia ditebarkan. Keadaan kedua, dia terpaksa mengambil pilihan dalam kehidupan. Ada perkara yang tetap akan berlaku, namun dengan pilihan juga boleh diubah dengan izin Tuhan.

Manusia terutamanya aku, yang juga seorang insan sering hilang pertimbangan dalam memilih jalan. Dari sekecil-kecil pilihan seperti pilihan menolak selimut didalam keheningan sehingga sebesar-besar perkara memilih pasangan (mungkin juga ada yang akan merasa tertekan) tetapi yakinlah, tiada kaitan.

Masa ini aku punya pilihan, dan semestinya pilihan yang ideal cabangnya dua sahaja. Sama ada menurut kawan, berpergian terbang meninggalkan laman, ataupun kekal, tekad dengan lemparan cabaran dan bentangan gerigi tajam merobek gelodak hitam dalam diri. Moga dikekalkan istiqamah dalam hati sehingga dijemput mati.
Marilah kita beriman walaupun sesaat

Syair Imam as-Shafie

"Kita kerap meyalahkan zaman ini, sedang keaiban sebenar adalah pada diri kita, tiada sebarang aib pada zaman kita, kecuali diri kita sendiri.

Kita kerap mencerca zaman ini tanpa jenayah dilakukannya.. kalau zaman tahu mengatur kata, tentulah ia mencaci kita kembali
Dunia kita adalah lakonan dan menunjuk-nunjuk..sebenarkan kita memperdaya Yang Maha melihat kita

Si serigala tiadalah pernah memakan daging rakannya .. sedangkan kita kerapkali makan daging semasa sendiri "


Peringatan untuk diri sendiri

Bebas seketika


Sang pipit baru bebas hari ini. Bebas dari belenggu kuiz kecil-kecilan, yang walaupun kecil sangat membaham kemampuan dirinya dan teman-teman dalam mendepaninya. Si pipit langsung terlupa sedang nyamuk boleh membawa mati, apatah lagi kuiz yang lebih besar sedikit itu; tidakkah dia lupa akan bahaya disesah di kampung kelak kerana tidak bersungguh-sungguh dalam belajar ilmu duniawi . Lantas terpaksalah bersua kembali dengan kuiz tersebut, dalam istilah popular yang disebut “redo quiz” yang bersiri-siri, maka redho lah ia akan ketentuannya nanti. Setelah terlepas, maka tersenyumlah ia, apatah lagi ditegur oleh Mr “Correct Right? " yang baru sahaja mengetahui bahawa dirinyalah yang membawa “bahana” kepada para pensyarah dengan menghantar kritikan terhadap modul HND seperti yang diminta oleh Mr Ello, koordinator yang sangat ramah sekali. Si pipit senyum sendiri, kerana dia yakin yang dikritiknya itu adalah modul semata-mata, bukan pelaksananya yang sangat berdedikasi.

Namun selama sang pipit “tersepit” itu, dia melihat ramai yang kembali, mencari Tuhan walaupun dengan jalan yang tiada kaitan sama sekali. Moga dengan usaha itu, kesungguhan mencari fitrah itu dilihat Ilahi, lantas dicampak taufiq dan hidayah didalam diri. Yang pasti, dirinya akan cuba membantu dengan tumpang sekaki, walaupun dengan sebuku roti berinti sosej yang sedap dimakan dimalam hari.

Sehari bersama Pencacai


Sesekali seronok juga menjadi 'pencacai', fikir si kecil kacak .Hidup sebagai si pencacai mudah, tidak perlu berfikir panjang, hanya perlu menerima arahan dan membuat sebaik mungkin, dengan setulus hati. Tetapi awas, jika si pencacai bersungguh-sunggh dalam hal kemungkaran, maka saham pasti tidak kemana. Jadi konklusi awal dari si kecil, jadilah pencacai kepada kepada si alim dan taat.

Bersama sahabatnya hari itu, dirinya berusaha mendalami sedikit sebanyak perangai orang lama dalam pertempuran, yang sering bertempur dengan gagak hitam yang buruk nan hodoh dilaman, di laman kecil yang tidak akan tahan selamanya. Tetapi bukan hal ketahanan laman menjadi ukuran signifikan perjuangan, tetapi burung-burung senior itu berjuang atas arahan dan keimanan.

Si kecil tidak habis-habis tersenyum bersama teman, melihat, mendengar, dan meneliti sikap dan tindak tanduk mereka yang berkenaan. Tersenyum lebar lagi apabila melihat bulu pelepahnya tidak tersenarai dalam senarai pengenalan diri bersama alamat blog dan kad pengenalan, maklumlah, dirinya sesiapa bak kata sahabatnya itu, setakat pencacai yang hanya pandai membuat dadih yang dijual kepada teman-teman.

Namun si kecil puas, bukan kerana dapat menjamah nasi minyak yang tersisa oleh tuan, tetapi mendapat satu pandangan baru dalam berhadapan dengan kehidupan.Manusia tidak sempurna, dan pimpinan itu juga manusia, tidak terlepas dari silap dan salah dalam kehidupan.Tetapi jika hendak mengkritik pimpinan, diingatkan untuk beradab dan mengelak membuat tuduhan. Sungguh ianya merugikan jemaah, memecahbelahkan dan menyakitkan hati teman.
Dan satu lagi yang tidak ingin ditinggalkan, satu persoalan. Diguna sahaja analogi mudah dalam merungkai persoalan:

"ambil sebilah pisau, dan sehelai kain sebagai pasangan. Diambil lagi satu kain, tetapi dipasangkan dengan berpuluh lidi yang kurus tiada kekuatan.Lidi dan pisau diletak dibawah kain tersebut (lidi-lidi diletak dengan jarak yang sekata dibawah kain), lalu diangkat perlahan-lahan dan dijulang keatas. Perhatikan bagaimana dua kain berubah mengikut tujahan"

Mana satu mekanisma yang ingin ditekankan? Mencanak tinggi dan mengorbankan seketika kawasan disekeliling atau bersama-sama mencapai impian? Kedua-dua punya sifat lemah, begitu juga kelebihan.

Si pipit sesat di tanah sendiri


Malam itu si kenit terbang lagi.Si kenit sudah tidak seperti dahulu. Dia sudah semakin sibuk, sentiasa ada tugasan perlu diselesaikan,sehingga tiada masa pulang ke tempat sarang tempat ditetaskan dahulu.

Setiap hari untuk membesar, si kenit berusaha keras menjahit sayapnya. Setiap hari tatkala masa terluang pasti akan disulam dengan kemas sayapnya itu supaya mudah dirinya terbang, laju dan kuat kemana-mana. Suatu hari yang tidak diduga, akibat tertidur kepenatan, si jarum itu menghilangkan diri. Lalu setelah dicari-cari, hanya satu sahaja penyelesaian yang relevan di masa itu, iaitu dengan pulang ke sarang, meminta ibu memberikan satu jarum yang lain, sebagai ganti si jarum gasar yang melarikan diri.

Dalam gelap itu si kenit memecut dengan sayap sahabatnya, kerana sayapnya masih belum teguh untuk diguna pergi kemana-mana. Niat dihatinya ingin pulang semula ke tempatnya berkerja, kerana ada mensyuarat yang perlu dihadirinya, dan mesyuarat itu bubar tanpa dirinya. Sampai sahaja dirumah, pasangan tua itu terkejut melihat anaknya. Si kenit memaklumkan kepada mereka, lalu pasangan itu seolah sedih si kenit pulang hanya seketika sahaja, seolah pulang hanya untuk jarum dan bukan menjenguk mereka. Namun atas nurani seorang bapa,ayah si kenit hanya menundukkan kepala, tanda faham akan situasi anaknya.

Setelah diulur biji jagung yang menjadi kegemaran si kenit, setelah meminta diri, dirinya terus terbang sekuat hati, mengalahkan sang layang-layang yang terkejut dirinya dikalahkan oleh si kenit tadi. Dengan izin tuhannya, si kenit langsung terlupa, sayapnya itu memerlukan air untuk berfungsi, lalu pabila haus, dia menyesal tidak mengisi kantung air di sarang usangnya itu tadi. Biarpun air itu mudah didapati, si kenit sedar, air di negerinya dikuasai syarikat, biarpun kerajaan sudah berganti, masakan semuanya percuma, hidup di dunia kapitalis, semua perkara diniaga dan dijual beli. Lalu terkedek-kedek si kenit menyimpang dari jalan utama, dengan niat mencari air di mana-mana. Setelah hampir pengsan beberapa kali, terasa perit di halkumnya, akhirnya dia berjumpa juga dengan stesen mengisi air. Malangnya, si pemiliknya menghalaunya, dengan alasan sudah lewat malam, tiada urusniaga. Si kenit merayu, tidak dilayan, langsung si kenit tahu, ada sesuatu yang tidak kena dalam harinya itu.

Dengan sedih dan tidak berdaya, si kenit pergi dengan berhati-hati, dalam kegelapan itu, dia mencari lagi air di mana-mana. Setelah air mata yang masin mula menitis, dia berjumpa dengan satu lagi stesen, kali ini dia lega, kerana melihat ramai pipit sekawan dengannya berurusniaga. Tetapi dia kaget, setelah menyedari di mana ia berada, dia berada di kampungnya semula!

Sedarlah dia akan kesilapan yang dilakukan, dosa terhadap ibu bapa, tidak beradap terhadap mereka, lantas dirinya dibalas dan ditegur didunia. Air matanya bercucuran, menyesal akan kebiadapan dirinya, walaupun dirinya sesibuk mana, hati ibu dan bapanya wajib dijaga. Terus dia mengirimkan pesanan ringkas, meminta maaf terhadap bapanya, dirinya takut untuk berbual di telefon itu, kerana sedang lencun dibasahi air mata. Dalam menyesal ia syukur, di tegur tuhan dengan cara selembut itu, dia berdoa agar dirinya kembali berhati nurani, dihaluskan hati dikemaskan peribadi. Setelah itu dia kembali kedepan sarangnya, melihat dari jauh dengan sayu, dengan tekad mahu berhati halus selalu,lantas pulang ke tempat kerjanya.

Sedarlah dia, janji tuhan balasan terhadap anak yang derhaka itu bukan palsu, dan dia yakin akan ayat dari tuhannya, yang juga merupakan tuhanmu.

Khilaf dalam Membentang Buah Fikiran


Muslim hidup bukan sendirian, mereka bersama jemaah dalam seharian...
Sesungguhnya kambing itu hanya akan diterkam serigala jika dirinya bersendirian..terima kasih kepada yang memberi nasihat dan teguran..terkadang cara pemikiran kita hanya sesuai dengan diri sendiri, sedang yang lain akan menjadi fitnah yang akan membeban..

Buat insan lain, pancunglah sifat ego, berlapang dadalah dengan kritikan..

Kepupusan Melayu

Sedang kebosanan, maka ditaiplah entry ini. Adapun baru sahaja usai membaca bacaan meredakan kepala. Maka sukalah dikongsi akan isi-isinya. Tentang syarat busana melayu, yang dinukilkan dalam novel itu, kata seorang ulama berketurunan Cina di zaman kesultanan Melayu negeriku. Katanya, :

"Syarat pertama busana Melayu itu hendaklah pantang membuka aurat. Sesiapa memakai, tetapi terbuka aurat, tanda iman sudah berkarat. Tanda orang tidak semenggah, berkain baju, terdedah-dedah. Barangsiapa memakai singkap-menyingkap, tanda dirinya tidak beradab. Adat orang Melayu jati,berkain baju berhati-hati........

Syarat kedua busana Melayu itu pantang kainnya nipis. Apabila berkain baju yang tipis, disitulah tempat setan dan iblis. Apabila memakai terlalu jarang, malu tak ada aib pun hilang. Sesiapa memakai akan pakaian yang tembus mata, tanda dirinya didalam nista.
....Syarat ketiga busana melayu itu mestilah pantang ia berpotongan ketat. Tiada boleh sama sekali menampak lekuk atau liku ditubuh. Ingatlah apabila memakai yang ketat-ketat, agama hilang binasa adat. Barang siapa berbaju sempit, imannya malap jiwanya sakit. Ingatlah anakanda Muhammad, tanda Melayu memegang adat pantang dia berbaju ketat. Tanda orang beriman teguh, pakaian sempit memang dijauh....

Itulah yang hendak ayahanda nyatakan tentang syarat keempat busana Melayu. Pantang ia mengada-ngada. Membuat baju harus sejudu, jangan suka tiru-meniru, supayatak hilang maruah Melayu. Apabila memakai tahukan diri, supaya tak lupa diri sendiri, kala memakai elok menurut adat kelak tidak membawa mudarat. Ingatlah jika memakai elok menutupi badan, supaya tidak disusupi setan.

..........Syarat kelima busana Melayu itu dilarang sekali memandai-mandai kerana apabila berpakaian memandai-mandai, aib tersingkap malu terburai....."

Dipetik dari Manikam Kalbu,
Faisal Tehrani, Dewan Bahasa dan Pustaka,
2007.

Berapa ramaikah sekarang yang boleh digelar Melayu? Sedang luarannya tidak begitu, mungkin kerana katanya imannya didalam hati sentiasa tidak mahu ditayang-tayang selalu..

Nasi kosong


Malam itu hati si kenit terketar-ketar. Dia hadir ke dalam "smart circle" . Hadirnya awal, sengaja diawalkan kedatangannya, dengan doa dia tidak gugup apabila berkumpul bersama. Perlahan-lahan dia bertatih dengan tongkatnya, tongkat sejatinya, yang menemani dirinya dimana sahaja dia melangkah, walaupun sesekali jatuh menyembam bumi.

Sang Naqeb melangkah. Aduh, dengupan jantungnya makin sasau.Aktiviti berjalan seperti biasa. Selesai berbicara suasana hening. Diam. Tiada teman berbicara, maka si kenit meraup mukanya, lega. Tiba-tiba sang naqeb garau bersuara " hari ini kita ada modul khas melengkapkan ukhwah. Makan nasi kosong sehingga habis. Bagi siapa yang tidak habis sama-sama kita bantu dia. Boleh sahabat-sahabat.........!? " ."boleh~!", sahut mereka bersemangat. Dihidangkan nasi sekawah entah di mana sang Naqeb sempat menempah, lalu modul berlalu seperti biasa. Argh, si kenit kecewa.

Selang tiga kali suapan, si kenit tersedak. Dengan suara serak berkata, "ana tidak mampu sheikh, ana tak kuat makan." Dilihat Sang Naqeb lahap memakan nasi putih bersama sahabat, tidak mendengar suaranya. Dicubanya lagi. Kali ini, kali kelima dia berhenti. Sedikit merayu, dia berkata, "ana tidak mampu sheikh, ana habiskan sedikit ini sudahlah", sambil memandang setalam nasi lagi yang perlu dihabiskan dalam modul itu.

Si kawan sedikit menjeling semacam marah, tetapi terus menyudahkan suapan masing-masing. Si kenit terasa sebak, tetapi terus dicuba mengunyah nasi itu. Dicubanya lagi pada sang Naqeb, "sheikh, ana bawa nasi ini balik, esok dan lusa ana cuba habiskan. Hari ini setakat ini sahaja boleh? ". Dilihat Sang Naqeb senyap, tiada respon langsung darinya.

Si kenit teringat kata-kata Sang Naqeb di tamrin dahulu, terngiang-ngiang di telinganya. " ingat, kita ini dalam zon selesa, jangan bazirkan nasi itu.Ingat sahabat-sahabat kita di Palestin. Belajar menghargai hidup. Habiskan ! Ingat, nasi itu tak perlukan kita, kita yang perlukan nasi untuk hidup!". Lalu di bantah dalam hati, bukan dirinya menolak nasi, tetapi bukankah sudah terbukti sepanjang mereka berkenalan dirinya gagal memanfaatkan nasi? Kemampuannya menyuap hanya sedikit ! Bukankah pimpinan melihat siapa yang patut menghabiskan nasi itu adalah seorang yang besar, kuat dan lahap dalam menyuap makanan?

Dia tersedak, tersembur beberapa butir nasi di udara. Sang Naqeb tersenyum, lalu berkata, "inilah masa yang ana maksudkan tadi membantu bagi mereka yang tidak mampu. Marilah kita suapkan sahabat kita ini..." . Lalu mereka beramai-ramai mengepal nasi, menyumbat di mulut si kenit. Si kenit mengunyah pada mulanya, tetapi mereka menyuap tanpa henti. Si kenit berkata "berhenti, diriku tidak mampu". Namun semakin rakus mereka menyuap. Dia menjerit lagi , "tolong, aku tidak mampu. Aku ada penyakit diabetes melitus, tidak boleh mengambil nasi terlalu banyak. Tolonglah, aku tidak mampu~", dirinyamerayu.

Seperti biasa, tidak diendahkan permintaan si kenit, maka makin berduyun-duyunlah mereka dengan kepalan nasi ditangan, menyumbat-nyumbat mulut si kenit dengan nasi, si kenit cuba meronta, tetapi apakah daya, air mata yang mengalir juga tidak menyekat mereka, lalu dialirkan sahaja di dalam hati sahaja. "alhamdulillah, selesai. Ana pulang dulu", kata sang Naqeb. Sahabatnya turut bersama keluar, tinggal si kenit seorang diri, terkulat-kulat dengan mulut dipenuhi nasi.

Sambil menangis, dia berfikir, mengapa sahabat-sahabatnya yang soleh-soleh itu memaksanya sebegitu rupa? Dia berfikir, panjang dia berfikir, tiada jawapan dari mindanya. Di akhir malam, barulah teringat, dirinya bisu rupanya, tiada mampu mengeluar suara, suaranya tidak di dengar, hanya telinganya sahaja yang berfungsi selama ini, barulah dia sedar akan kedudukan dirinya sebenarnya.

Si jahat bernombor 41


Sudah lama tidak kulihat ruangan ini. Sengaja dan malas, terasa lelah untuk menaip, seolah tiada mampu menekan kekunci hitam pekat itu, mungkin kerana tiada rasa dalam qalb,jadi kubiarkan sahaja, kerana masakan bolehku menulis dengan hati yang berat sebegitu.

Kelas ku minggu ini seperti biasa, cuma terlewat sedikit melangkah masuk ke tempat menadah curahan salju, kerana terjatuh kantuk disisi sejadah selepas solat duha yang nyaman. Subjek ku juga seperti biasa, 4 jumlah semuanya, yang semuanya memerlukan tumpuan maksima dalam menghadapnya, disamping juga tugasan karangan sepuluh muka, yang entah bila ku bisa menaipnya.

Namun ada 2 perkara sangat menjentik hatiku hari itu. Aku, apalagi reaksiku, sebak sentiasa. Kadang-kadang bosan juga, tetapi entah mengapa, aku suka menitiskan cecair sedikit likat bergaram itu secara senyap-senyap sendiri. Tatkala si Dr pensyarah sedang lazat memberitahuku tentang fakta-fakta dan ilmu, terus ia menyedarkanku, yang aku selama ini sangat jahil, kerana mengkritik manusia tanpa ada pengetahuan tentang mereka.

4 sosok tubuh manusia ku belajar hari itu, semuanya pimpinan yang tidak pernah ku jumpa atau lihat sendiri dengan tatapan mataku, apatah lagi mendapat peluang mencium tangan mereka. Seorang yang ku tuduh berhaluan kiri, sedang rupanya mempunyai PhD dalam bidang agama dan berilmu tinggi, seorang ku label dalam hati yang berfikrah pejuang melayu pula rupa-rupanya memiliki ilmu siasah syariyyah yang tidak terjangkau oleh cetek akalku, seorang yang lain pula merupakan alim ulama yang menyebabkan ku sesal kerana lambat mengenalinya, dan paling ku kagum, seorang pencetus gerakan mahasiswa Islam, yang pendidikan formalnya dari awal ke akhir hingga berjaya menjadi doktor pertama di Tanah Melayu semuanya di sekolah mubaligh kristian, namun cekal hatinya, kukuh imannya, kuat jati dirinya menyebabkan aku terjelepuk jatuh di dalam bayangan sendiri, betapa jauhnya dirinya dengan diriku,terusku menutup mata,menangis sendiri.





Ku pujuk diri, masih ada masa menjadi manusia. Yang penting untuk menjadi manusia yang baik perlulah mengenal siapa musuh siapa teman, dan untuk kali ini aku menamakan salah satu musuh ketatku..makhluk yang bernombor 41, bukan 'arancar' atau apa-apa yang sedang dalam fikiranmu, tetapi percayalah aku ingin memenggal kepalanya sebelum ku heret adiknya sama.

Mengakar dalam


Engkau diberi nama sekian pendek. Di pandang enteng oleh sekalian manusia yang 'terperap' di bilik. Dirimu sebenarnya peracun durjana, yang menyiat agama, merosak dunia.

Wajah sebenarnmu sebenarnya sudah lama di singkap, cuma hebatnya dirimu melalaikan manusia dari memahaminya. Antaranya duduk didalam Ensiklopedia lama, yang di sandar kepada negara penjajah sana, di muka surat 510 jelas terpapar, bahawa dirimu adalah jahat-jahat belaka. Kamu dipanggil sebagai satu sistem "
founded on the principle of natural morality and independence of revealed religion and supernaturalism . It is first postulate is freedom of thought, the right of every man to think for himself". Dan itu bukan satu sahaja, pastinya semuanya menyanggah engkau, tetapi aku pelik, mengapa engkau di layan seperti sultan, sedang engkau setakat lahir dari minda kotor manusia sahaja.

Aku tidak sabar untuk menjadi saksi, melihat engkau jatuh tersembam kebumi, setelah berabad-abad kau menipu manusia, melenakan mereka dengan mimpi. Yang paling ku benci, turut kau sapu sekali segala yang berkaitan denganku, lantas semuanya di sekelilingku beracun belaka. Nyahlah engkau dari dunia, tidak selesa diriku selagi engkau bernafas dan memperdaya manusia.





Setelah 'beradab' dalam menjadi tetamu


Kali ini diriku usai menghadiri satu program yang dianjurkan di Bangi, alhamdulillah, setelah 2 hari bertapa di sana, banyak juga idea yang bercambah dengan jayanya.


Untuk kali ini pula, setelah bersama-sama bersama al-Qodahi mengamalkan idealisme "escapism" dari LDK, slot riadah dan mesyuarat, kerana kami hanya fokus kepada kuliah dan slot mengisi perut sahaja, lantas kami mendapat satu kerangka pemikiran yang mantap yang dapat di simpulkan dengan satu lukisan dari sahabatku itu.


_______________________________lukisan amatur


Mungkin mudah untuk ditafsir pemikiran a-Istaqi ini disini. Apa-apa pun, selamat mencerna dari tulisan sheikh yang hebat ini.

Selepas Jumaat

Petang ini dadaku sesak. Secara tiba-tiba ada satu serangan menerpaku dengan mendadak. Aku terduduk tanpa mampu melawan.

Usai solat jumaat aku menangis teresak-esak. Entah mengapa hatiku sayu, sedih dan rindu, kepada seseorang yang bergelar murabbi. Ku kira sudah lama tidak ku berjumpa dengan murabbi ku, entah apa khabarnya, entah siapa yang bakal menggantikan dia. Mungkin juga kerinduan ini membuak kerana ku terlihat seseorang yang mempunyai sosok yang persis dengannya, namun ku bersyukur ku masih dapat menangis merindukan seseorang yang ku rasa pada tempatnya.

Moga disampaikan rasa rinduku ini kepadanya.

Kening Terangkat Seketika


Akhir-akhir ini, ada perkara yang melingkar dalam pemikiranku. Walaupun bertatih-tatih ku ber'jalan', sesekali tersungkur, tidak juga hilang bayangan perkara itu dalam perhatian. 2 perkara mungkin selalu difikirkan, pabila orang bercakap mengenai perubahan, dan juga apabila orang berkata berjuang itu untuk Islam, bukan persatuan, ataupun apa-apa sahaja proksi, termasuk alumni.


Bukan ku menolak perkara yang diutarakan, cumanya sedikit terangkat keningku apabila terdengar tentang dua soal itu, adakah mungkin sifat pessemistic itu bertapak dalam diri? Mungkin juga, tetapi seringkali diri terjumpa, berjumpa dan dijrumpai oleh manusia yang berkata deras, tetapi hasilnya entah kemana.Dan berjuang untuk Islam itu mungkin tiada erti jika hanya didasari oleh semangat semata-mata, bahkan hal ini ditekankan oleh pelbagai lorong pemikiran,tidak kira al-Attas, mahupun al-Banna,ataupun dalam konsep rausyanfikir, biarlah dimana sahaja blok kamu berada, tetapi ingat, pilihlah dengan adil dan saksama isi-isi yang patut menempati asas binaan dalam kepala kalian, kerana tanpa keadilan dan sikap berlapang dada, tidak mungkin idealisme itu bertemu walaupun pada setitik noktah sekalipun. Sebab itu mungkin diriku sungguh malas berwacana, kerana takut terkena dengan kata-kata ciptaan al-qodahi, "al-ilm fil mulut, wala fil amal".

Namum syukur, selesai juga muktamar Sanawi APIS, dengan sheikh al-Qodahi menjadi timbalan presidennya, tetapi malang, tiada pula gambar yang dapat disertakan disini kerana wujud masalah teknikal, mungkin jika sudah diberesi masalah itu akan dikepilkan satu dua gambar sepanjang keberadaan di sana.

Selepas ini, ada beberapa perkara perlu ditempuhi,bermula dengan ujian akedemik kecil-kecilan (quiz) yang memeningkan kepala,bahkan boleh menggagalkan diri, peperiksaan akhir semester, permulaan kelas di ILHAM, (agak gusar selepas respon yang diberikan pengurus agak 'menakutkan'), penyelesaian kem (mungkin di paroi) dan tidak dilupakan ujian Allah yang bakal mendatang, tampak seperti banyak perkara perlu di bereskan, tetapi percayalah,dengan kapasiti kemalasan diri ini,entahkan "settle' ataupon tidak. (huhu)



Wassalam.

Seminar bersama Sheikh al-Qodahi


Baru sahaja usai berseminar, di Masjid Shah Alam, dengan tajuk Seminar Baldatun Toyyibah, Model Andalusia. Seminar yang membincangkan untuk menghidupkan semula tradisi negeri Islam pertama yang syahid,seperti mana yang diungkapkan oleh Prof Madya Dr Ahmad Zaki,untuk di interpretasikan semula dalam pentadbiran negeri Selangor.

Menarik juga, apabila disogokkan dengan perbincangan ilmiah, maklumlah diri yang jakun sedikit, namun sedikit sebanyak terkenang negeri yang dicintai, entah bila negeriku dapat menjadi matang seperti itu,sedangkan ada dari kalangan pembentang yang mengatakan sudah agak terlewat untuk berdiskusi tentang tradisi Al-Andalusia ini, tetapi bagaimana negeriku? Bukankah lebih jauh jangkauan vakum kecicirannya?

Adalah sesuatu yang amat penting peranan pemimpin yang bijaksana yang berteraskan ilmu yang kukuh dan mantap untuk membawa rakyatnya ke arah kehidupan yang di redhai. Lihat sahaja tradisi ilmu pemimpin zaman dulu, bagaimana Al-Hakam, pemimpin zaman Andalus ketika itu yang memiliki 400 000 buah buku, yang semuanya telah hadam di bacanya sehingga di gelar kutu buku? Bagaimana pula Amir Yahya bin Ibrahim yang memutuskan untuk mewakilkan pemerintahan seketika kepada anaknya tatkala dia sendiri keluar mencari ulama' sehingga berguru dengan al-Imam Abu Imran al-Fasi dalam bidang ilmu fiqh di bandar Qairawan, Maghribi?

Penghormatan terhadap ulama' sangat tinggi, sehingga tidak akan digelar sesuatu kawasan itu sebagai istana (bukan bermaksud tempat tinggal khalifah sahaja), sehingga didalamnya tinggal sekurang-kurangnya ulama atau fuqaha' yang muktabar. Khalifah Abdul Rahman III pernah di tegur kerana tertinggal solat jumaat oleh seorang Qadi bernama Munzir al-Balluti. Ketika ditanya oleh puteranya samada beliau mahu memecat Qadi tersebut Sultan menjawab, : "aku lebih rela memutuskan hubungan denganmu, tapi aku tidak akan memecat Qadi ini yang merupakan nikmat Allah SWT kepada kita semua. Aku akan solat Jumaat dibelakangnya selagi dia masih hidup"

Jika itu sikap pemimpin mereka, tidak hairanlah jika pada abad itu, di bandar Cordoba sahaja terdapat 500 000 penduduk memiliki 700 masjid, 70 perpustakaan awam , 50 hospital yang semuanya percuma, yang pastinya berkelas dunia. Terlalu banyak lagi perkara yang boleh diperah dari ketamadunan Andalusia dahulu.

Ada satu petikan yang menarik dari pembentang; " jika dilihat dari sudut kesedaran minda dan pengetahuan masyarakat dalam kesediaan membuat perubahan, Selangor agak seimbang dengan negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Perak dan Kedah, melebihi negeri-negeri di pantai barat tetapi tidak mengatasi kesedaran membuat perubahan oleh masyarakat negeri Kelantan umpamanya"

Namun agak janggal, kerana diri dan sahabat sahaja yang kelihatan dari golongan muda, audiens yang lain dari golongan tua, namun wacana dari perwakilan sangat di kagumi, mungkin ahli dari Persatuan Ulama Malaysia sahaja yang berada di sana, sedang kami tercampak seketika. Agak kesian juga dengan seorang ustazah (mungkin tarafnya nenek kepada kami), yang berbicara di sesi soal jawab,sudahlah lama berceloteh di pembesar suara, hampir 5 minit mungkin, rupa-rupanya bukan hendak bertanya soalan, sekadar memberi komen sahaja, (isk3).Lantas kami jadikan dia bahan ketawa, entah apa dosa nenek itu kepada kami, mungkin dosa mencuri masa pembentang agaknya.Seronok juga berada dengan orang tua, mungkin kerana seperti ada sebab untuk tidak serius sentiasa, kerana kami orang muda.
Moga diskusi membuahkan hasil, tidak terhenti begitu sahaja. Sahabatku sheikh al-Qodahi (bukan nama sebenar) sangat terkesan sehingga berazam memiliki sekurang-kurangnya separuh dari koleksi al-Hakam, tetapi tebal bukunya tidak ku tahu di tahap mana, entah di setebal buku tulis sekolah atau tebal kamus dewan bahasa.

Silapku dalam berpakaian


Segala puji kepada Allah, Pemberi nikmat tidak ternilai, Pengurnia kepada segala kebolehan, dan kelebihan kepada manusia, yang Maha Sabar, dan Maha Pemurah kepada hamba-hambaNYA, walaupun sudah menggunung kefasadan dan kemaksiatan yang di lakukan oleh insan yang kufur kepada nikmatnya. Bahkan ada hadith dari Rasul al-Mustofa yang bermaksud, "seluruh kefasadan(maksiat) yang telah terkumpul di bumi ini sudah melayakkan Allah untuk memusnahkannya". Namun hanya atas sifat kasih Tuhan kepada makhluknya, kasih kepada kanak-kanak, wanita, dan orang tua, maka dengan itu ditangguhkan kehancuran itu ke hari kelak.

Hampir separuh purnama aku seperti hilang sesuatu, lalu baru ku sedari pagi ini, atas alasan apa aku terpaku seperti itu. Selama ini tidak ku sedari, aku memakai pakaian yang salah, pakaian seorang penghukum, bukan seorang pendakwah yang mendokong, entah mengapa, mungkin kerana warna pakaian itu sama, menyebabakan aku tersalah memilihnya, lantas terus-terusan selesa dengannya.

Ku lihat sahabatku yang tidak solat, kulihat pula kenalan yang makin menjauh, kulihat mereka yang lalai dengan perniagaan yang tidak tahu asas hukumnya, kulihat segala-galanya, lalu ku hukum. Ku hukum mereka, tanpa belas kasihan. Diri semakin ego, mengenangkan jika ku berdebat dengan mereka, pasti bertubi-tubi hujah yang akan menghujani mereka, tetapi aku lupa, mereka pasti tidak berasa apa-apa, dan sebenarnya aku juga yang kalah dengan mereka. Ku hukum, lalu diri sendiri terhukum, masakan tidak, manusia ada naik dan turun iman mereka.

Ingin ku cari, pakaian yang ku hilang selama hampir separuh bulan ini, moga dengannya tidak ku depani masyarakat dengan hukuman yang kulemparkan, tetapi ku depani dengan hikmah dan kebijaksanaan.

Terasa diri ingin menolak satu jenis tawaran...