Bebas seketika


Sang pipit baru bebas hari ini. Bebas dari belenggu kuiz kecil-kecilan, yang walaupun kecil sangat membaham kemampuan dirinya dan teman-teman dalam mendepaninya. Si pipit langsung terlupa sedang nyamuk boleh membawa mati, apatah lagi kuiz yang lebih besar sedikit itu; tidakkah dia lupa akan bahaya disesah di kampung kelak kerana tidak bersungguh-sungguh dalam belajar ilmu duniawi . Lantas terpaksalah bersua kembali dengan kuiz tersebut, dalam istilah popular yang disebut “redo quiz” yang bersiri-siri, maka redho lah ia akan ketentuannya nanti. Setelah terlepas, maka tersenyumlah ia, apatah lagi ditegur oleh Mr “Correct Right? " yang baru sahaja mengetahui bahawa dirinyalah yang membawa “bahana” kepada para pensyarah dengan menghantar kritikan terhadap modul HND seperti yang diminta oleh Mr Ello, koordinator yang sangat ramah sekali. Si pipit senyum sendiri, kerana dia yakin yang dikritiknya itu adalah modul semata-mata, bukan pelaksananya yang sangat berdedikasi.

Namun selama sang pipit “tersepit” itu, dia melihat ramai yang kembali, mencari Tuhan walaupun dengan jalan yang tiada kaitan sama sekali. Moga dengan usaha itu, kesungguhan mencari fitrah itu dilihat Ilahi, lantas dicampak taufiq dan hidayah didalam diri. Yang pasti, dirinya akan cuba membantu dengan tumpang sekaki, walaupun dengan sebuku roti berinti sosej yang sedap dimakan dimalam hari.

Sehari bersama Pencacai


Sesekali seronok juga menjadi 'pencacai', fikir si kecil kacak .Hidup sebagai si pencacai mudah, tidak perlu berfikir panjang, hanya perlu menerima arahan dan membuat sebaik mungkin, dengan setulus hati. Tetapi awas, jika si pencacai bersungguh-sunggh dalam hal kemungkaran, maka saham pasti tidak kemana. Jadi konklusi awal dari si kecil, jadilah pencacai kepada kepada si alim dan taat.

Bersama sahabatnya hari itu, dirinya berusaha mendalami sedikit sebanyak perangai orang lama dalam pertempuran, yang sering bertempur dengan gagak hitam yang buruk nan hodoh dilaman, di laman kecil yang tidak akan tahan selamanya. Tetapi bukan hal ketahanan laman menjadi ukuran signifikan perjuangan, tetapi burung-burung senior itu berjuang atas arahan dan keimanan.

Si kecil tidak habis-habis tersenyum bersama teman, melihat, mendengar, dan meneliti sikap dan tindak tanduk mereka yang berkenaan. Tersenyum lebar lagi apabila melihat bulu pelepahnya tidak tersenarai dalam senarai pengenalan diri bersama alamat blog dan kad pengenalan, maklumlah, dirinya sesiapa bak kata sahabatnya itu, setakat pencacai yang hanya pandai membuat dadih yang dijual kepada teman-teman.

Namun si kecil puas, bukan kerana dapat menjamah nasi minyak yang tersisa oleh tuan, tetapi mendapat satu pandangan baru dalam berhadapan dengan kehidupan.Manusia tidak sempurna, dan pimpinan itu juga manusia, tidak terlepas dari silap dan salah dalam kehidupan.Tetapi jika hendak mengkritik pimpinan, diingatkan untuk beradab dan mengelak membuat tuduhan. Sungguh ianya merugikan jemaah, memecahbelahkan dan menyakitkan hati teman.
Dan satu lagi yang tidak ingin ditinggalkan, satu persoalan. Diguna sahaja analogi mudah dalam merungkai persoalan:

"ambil sebilah pisau, dan sehelai kain sebagai pasangan. Diambil lagi satu kain, tetapi dipasangkan dengan berpuluh lidi yang kurus tiada kekuatan.Lidi dan pisau diletak dibawah kain tersebut (lidi-lidi diletak dengan jarak yang sekata dibawah kain), lalu diangkat perlahan-lahan dan dijulang keatas. Perhatikan bagaimana dua kain berubah mengikut tujahan"

Mana satu mekanisma yang ingin ditekankan? Mencanak tinggi dan mengorbankan seketika kawasan disekeliling atau bersama-sama mencapai impian? Kedua-dua punya sifat lemah, begitu juga kelebihan.

Si pipit sesat di tanah sendiri


Malam itu si kenit terbang lagi.Si kenit sudah tidak seperti dahulu. Dia sudah semakin sibuk, sentiasa ada tugasan perlu diselesaikan,sehingga tiada masa pulang ke tempat sarang tempat ditetaskan dahulu.

Setiap hari untuk membesar, si kenit berusaha keras menjahit sayapnya. Setiap hari tatkala masa terluang pasti akan disulam dengan kemas sayapnya itu supaya mudah dirinya terbang, laju dan kuat kemana-mana. Suatu hari yang tidak diduga, akibat tertidur kepenatan, si jarum itu menghilangkan diri. Lalu setelah dicari-cari, hanya satu sahaja penyelesaian yang relevan di masa itu, iaitu dengan pulang ke sarang, meminta ibu memberikan satu jarum yang lain, sebagai ganti si jarum gasar yang melarikan diri.

Dalam gelap itu si kenit memecut dengan sayap sahabatnya, kerana sayapnya masih belum teguh untuk diguna pergi kemana-mana. Niat dihatinya ingin pulang semula ke tempatnya berkerja, kerana ada mensyuarat yang perlu dihadirinya, dan mesyuarat itu bubar tanpa dirinya. Sampai sahaja dirumah, pasangan tua itu terkejut melihat anaknya. Si kenit memaklumkan kepada mereka, lalu pasangan itu seolah sedih si kenit pulang hanya seketika sahaja, seolah pulang hanya untuk jarum dan bukan menjenguk mereka. Namun atas nurani seorang bapa,ayah si kenit hanya menundukkan kepala, tanda faham akan situasi anaknya.

Setelah diulur biji jagung yang menjadi kegemaran si kenit, setelah meminta diri, dirinya terus terbang sekuat hati, mengalahkan sang layang-layang yang terkejut dirinya dikalahkan oleh si kenit tadi. Dengan izin tuhannya, si kenit langsung terlupa, sayapnya itu memerlukan air untuk berfungsi, lalu pabila haus, dia menyesal tidak mengisi kantung air di sarang usangnya itu tadi. Biarpun air itu mudah didapati, si kenit sedar, air di negerinya dikuasai syarikat, biarpun kerajaan sudah berganti, masakan semuanya percuma, hidup di dunia kapitalis, semua perkara diniaga dan dijual beli. Lalu terkedek-kedek si kenit menyimpang dari jalan utama, dengan niat mencari air di mana-mana. Setelah hampir pengsan beberapa kali, terasa perit di halkumnya, akhirnya dia berjumpa juga dengan stesen mengisi air. Malangnya, si pemiliknya menghalaunya, dengan alasan sudah lewat malam, tiada urusniaga. Si kenit merayu, tidak dilayan, langsung si kenit tahu, ada sesuatu yang tidak kena dalam harinya itu.

Dengan sedih dan tidak berdaya, si kenit pergi dengan berhati-hati, dalam kegelapan itu, dia mencari lagi air di mana-mana. Setelah air mata yang masin mula menitis, dia berjumpa dengan satu lagi stesen, kali ini dia lega, kerana melihat ramai pipit sekawan dengannya berurusniaga. Tetapi dia kaget, setelah menyedari di mana ia berada, dia berada di kampungnya semula!

Sedarlah dia akan kesilapan yang dilakukan, dosa terhadap ibu bapa, tidak beradap terhadap mereka, lantas dirinya dibalas dan ditegur didunia. Air matanya bercucuran, menyesal akan kebiadapan dirinya, walaupun dirinya sesibuk mana, hati ibu dan bapanya wajib dijaga. Terus dia mengirimkan pesanan ringkas, meminta maaf terhadap bapanya, dirinya takut untuk berbual di telefon itu, kerana sedang lencun dibasahi air mata. Dalam menyesal ia syukur, di tegur tuhan dengan cara selembut itu, dia berdoa agar dirinya kembali berhati nurani, dihaluskan hati dikemaskan peribadi. Setelah itu dia kembali kedepan sarangnya, melihat dari jauh dengan sayu, dengan tekad mahu berhati halus selalu,lantas pulang ke tempat kerjanya.

Sedarlah dia, janji tuhan balasan terhadap anak yang derhaka itu bukan palsu, dan dia yakin akan ayat dari tuhannya, yang juga merupakan tuhanmu.

Khilaf dalam Membentang Buah Fikiran


Muslim hidup bukan sendirian, mereka bersama jemaah dalam seharian...
Sesungguhnya kambing itu hanya akan diterkam serigala jika dirinya bersendirian..terima kasih kepada yang memberi nasihat dan teguran..terkadang cara pemikiran kita hanya sesuai dengan diri sendiri, sedang yang lain akan menjadi fitnah yang akan membeban..

Buat insan lain, pancunglah sifat ego, berlapang dadalah dengan kritikan..

Kepupusan Melayu

Sedang kebosanan, maka ditaiplah entry ini. Adapun baru sahaja usai membaca bacaan meredakan kepala. Maka sukalah dikongsi akan isi-isinya. Tentang syarat busana melayu, yang dinukilkan dalam novel itu, kata seorang ulama berketurunan Cina di zaman kesultanan Melayu negeriku. Katanya, :

"Syarat pertama busana Melayu itu hendaklah pantang membuka aurat. Sesiapa memakai, tetapi terbuka aurat, tanda iman sudah berkarat. Tanda orang tidak semenggah, berkain baju, terdedah-dedah. Barangsiapa memakai singkap-menyingkap, tanda dirinya tidak beradab. Adat orang Melayu jati,berkain baju berhati-hati........

Syarat kedua busana Melayu itu pantang kainnya nipis. Apabila berkain baju yang tipis, disitulah tempat setan dan iblis. Apabila memakai terlalu jarang, malu tak ada aib pun hilang. Sesiapa memakai akan pakaian yang tembus mata, tanda dirinya didalam nista.
....Syarat ketiga busana melayu itu mestilah pantang ia berpotongan ketat. Tiada boleh sama sekali menampak lekuk atau liku ditubuh. Ingatlah apabila memakai yang ketat-ketat, agama hilang binasa adat. Barang siapa berbaju sempit, imannya malap jiwanya sakit. Ingatlah anakanda Muhammad, tanda Melayu memegang adat pantang dia berbaju ketat. Tanda orang beriman teguh, pakaian sempit memang dijauh....

Itulah yang hendak ayahanda nyatakan tentang syarat keempat busana Melayu. Pantang ia mengada-ngada. Membuat baju harus sejudu, jangan suka tiru-meniru, supayatak hilang maruah Melayu. Apabila memakai tahukan diri, supaya tak lupa diri sendiri, kala memakai elok menurut adat kelak tidak membawa mudarat. Ingatlah jika memakai elok menutupi badan, supaya tidak disusupi setan.

..........Syarat kelima busana Melayu itu dilarang sekali memandai-mandai kerana apabila berpakaian memandai-mandai, aib tersingkap malu terburai....."

Dipetik dari Manikam Kalbu,
Faisal Tehrani, Dewan Bahasa dan Pustaka,
2007.

Berapa ramaikah sekarang yang boleh digelar Melayu? Sedang luarannya tidak begitu, mungkin kerana katanya imannya didalam hati sentiasa tidak mahu ditayang-tayang selalu..

Nasi kosong


Malam itu hati si kenit terketar-ketar. Dia hadir ke dalam "smart circle" . Hadirnya awal, sengaja diawalkan kedatangannya, dengan doa dia tidak gugup apabila berkumpul bersama. Perlahan-lahan dia bertatih dengan tongkatnya, tongkat sejatinya, yang menemani dirinya dimana sahaja dia melangkah, walaupun sesekali jatuh menyembam bumi.

Sang Naqeb melangkah. Aduh, dengupan jantungnya makin sasau.Aktiviti berjalan seperti biasa. Selesai berbicara suasana hening. Diam. Tiada teman berbicara, maka si kenit meraup mukanya, lega. Tiba-tiba sang naqeb garau bersuara " hari ini kita ada modul khas melengkapkan ukhwah. Makan nasi kosong sehingga habis. Bagi siapa yang tidak habis sama-sama kita bantu dia. Boleh sahabat-sahabat.........!? " ."boleh~!", sahut mereka bersemangat. Dihidangkan nasi sekawah entah di mana sang Naqeb sempat menempah, lalu modul berlalu seperti biasa. Argh, si kenit kecewa.

Selang tiga kali suapan, si kenit tersedak. Dengan suara serak berkata, "ana tidak mampu sheikh, ana tak kuat makan." Dilihat Sang Naqeb lahap memakan nasi putih bersama sahabat, tidak mendengar suaranya. Dicubanya lagi. Kali ini, kali kelima dia berhenti. Sedikit merayu, dia berkata, "ana tidak mampu sheikh, ana habiskan sedikit ini sudahlah", sambil memandang setalam nasi lagi yang perlu dihabiskan dalam modul itu.

Si kawan sedikit menjeling semacam marah, tetapi terus menyudahkan suapan masing-masing. Si kenit terasa sebak, tetapi terus dicuba mengunyah nasi itu. Dicubanya lagi pada sang Naqeb, "sheikh, ana bawa nasi ini balik, esok dan lusa ana cuba habiskan. Hari ini setakat ini sahaja boleh? ". Dilihat Sang Naqeb senyap, tiada respon langsung darinya.

Si kenit teringat kata-kata Sang Naqeb di tamrin dahulu, terngiang-ngiang di telinganya. " ingat, kita ini dalam zon selesa, jangan bazirkan nasi itu.Ingat sahabat-sahabat kita di Palestin. Belajar menghargai hidup. Habiskan ! Ingat, nasi itu tak perlukan kita, kita yang perlukan nasi untuk hidup!". Lalu di bantah dalam hati, bukan dirinya menolak nasi, tetapi bukankah sudah terbukti sepanjang mereka berkenalan dirinya gagal memanfaatkan nasi? Kemampuannya menyuap hanya sedikit ! Bukankah pimpinan melihat siapa yang patut menghabiskan nasi itu adalah seorang yang besar, kuat dan lahap dalam menyuap makanan?

Dia tersedak, tersembur beberapa butir nasi di udara. Sang Naqeb tersenyum, lalu berkata, "inilah masa yang ana maksudkan tadi membantu bagi mereka yang tidak mampu. Marilah kita suapkan sahabat kita ini..." . Lalu mereka beramai-ramai mengepal nasi, menyumbat di mulut si kenit. Si kenit mengunyah pada mulanya, tetapi mereka menyuap tanpa henti. Si kenit berkata "berhenti, diriku tidak mampu". Namun semakin rakus mereka menyuap. Dia menjerit lagi , "tolong, aku tidak mampu. Aku ada penyakit diabetes melitus, tidak boleh mengambil nasi terlalu banyak. Tolonglah, aku tidak mampu~", dirinyamerayu.

Seperti biasa, tidak diendahkan permintaan si kenit, maka makin berduyun-duyunlah mereka dengan kepalan nasi ditangan, menyumbat-nyumbat mulut si kenit dengan nasi, si kenit cuba meronta, tetapi apakah daya, air mata yang mengalir juga tidak menyekat mereka, lalu dialirkan sahaja di dalam hati sahaja. "alhamdulillah, selesai. Ana pulang dulu", kata sang Naqeb. Sahabatnya turut bersama keluar, tinggal si kenit seorang diri, terkulat-kulat dengan mulut dipenuhi nasi.

Sambil menangis, dia berfikir, mengapa sahabat-sahabatnya yang soleh-soleh itu memaksanya sebegitu rupa? Dia berfikir, panjang dia berfikir, tiada jawapan dari mindanya. Di akhir malam, barulah teringat, dirinya bisu rupanya, tiada mampu mengeluar suara, suaranya tidak di dengar, hanya telinganya sahaja yang berfungsi selama ini, barulah dia sedar akan kedudukan dirinya sebenarnya.

Si jahat bernombor 41


Sudah lama tidak kulihat ruangan ini. Sengaja dan malas, terasa lelah untuk menaip, seolah tiada mampu menekan kekunci hitam pekat itu, mungkin kerana tiada rasa dalam qalb,jadi kubiarkan sahaja, kerana masakan bolehku menulis dengan hati yang berat sebegitu.

Kelas ku minggu ini seperti biasa, cuma terlewat sedikit melangkah masuk ke tempat menadah curahan salju, kerana terjatuh kantuk disisi sejadah selepas solat duha yang nyaman. Subjek ku juga seperti biasa, 4 jumlah semuanya, yang semuanya memerlukan tumpuan maksima dalam menghadapnya, disamping juga tugasan karangan sepuluh muka, yang entah bila ku bisa menaipnya.

Namun ada 2 perkara sangat menjentik hatiku hari itu. Aku, apalagi reaksiku, sebak sentiasa. Kadang-kadang bosan juga, tetapi entah mengapa, aku suka menitiskan cecair sedikit likat bergaram itu secara senyap-senyap sendiri. Tatkala si Dr pensyarah sedang lazat memberitahuku tentang fakta-fakta dan ilmu, terus ia menyedarkanku, yang aku selama ini sangat jahil, kerana mengkritik manusia tanpa ada pengetahuan tentang mereka.

4 sosok tubuh manusia ku belajar hari itu, semuanya pimpinan yang tidak pernah ku jumpa atau lihat sendiri dengan tatapan mataku, apatah lagi mendapat peluang mencium tangan mereka. Seorang yang ku tuduh berhaluan kiri, sedang rupanya mempunyai PhD dalam bidang agama dan berilmu tinggi, seorang ku label dalam hati yang berfikrah pejuang melayu pula rupa-rupanya memiliki ilmu siasah syariyyah yang tidak terjangkau oleh cetek akalku, seorang yang lain pula merupakan alim ulama yang menyebabkan ku sesal kerana lambat mengenalinya, dan paling ku kagum, seorang pencetus gerakan mahasiswa Islam, yang pendidikan formalnya dari awal ke akhir hingga berjaya menjadi doktor pertama di Tanah Melayu semuanya di sekolah mubaligh kristian, namun cekal hatinya, kukuh imannya, kuat jati dirinya menyebabkan aku terjelepuk jatuh di dalam bayangan sendiri, betapa jauhnya dirinya dengan diriku,terusku menutup mata,menangis sendiri.





Ku pujuk diri, masih ada masa menjadi manusia. Yang penting untuk menjadi manusia yang baik perlulah mengenal siapa musuh siapa teman, dan untuk kali ini aku menamakan salah satu musuh ketatku..makhluk yang bernombor 41, bukan 'arancar' atau apa-apa yang sedang dalam fikiranmu, tetapi percayalah aku ingin memenggal kepalanya sebelum ku heret adiknya sama.