Luahan Rasa


Adakah sekadar di bulan ini Valentine sahaja yang perlu dibantai dan disita? Entah tidak ku memahami cara fikir mereka-mereka di sesetengah kawasan dalam negara bernama Malaysia. Benarkah Valentine sangat berkesan dalam hati Muslim sehingga dianggap jika di sanggah secara gila-gila maka wujudlah negara aman dan sentosa tanpa masalah sosial yang melata?

Sudah jadi fenomena pula, dimana-mana, bahkan di universiti penulis sehingga di jaja kempen anti itu dan ini semacam ia sangat-sangat dekat dan melekat dalam hati pelajar di sana? Bukankah elok sekiranya kos itu disalur kearah yang lebih membina? Sebagai contoh wacana mudah tentang apa yang terjadi di dunia al-Jazair sebelah sana? Ataupun buka sedikit minda bincang hal beza sains Newtonian melawan sains jerman yang pasti malu-malu kucing tidak popular dalam kalangan remaja? Moga kita menjadi insan cemerlang, sehingga di akhirat sana.

Ceritera


Di ceritakan pada suatu hari seorang lelaki yang miskin berjalan-jalan disebuah padang pasir yang sangat luas. Dalam kepanasan itu dia terasa sangat letih, bibirnya kering, kepalanya seolah mendidih,hampir-hampir sahaja dia pengsan.

Abdullah sudah berputus asa. Dalam perasaan itu dia tersilap langkah lalu jatuh diatas padang pasir yang sangat panas membahang. Lantas dia menumbuk-numbuk pasir,sesal dengan nasibnya.

Tetapi tiba-tiba dia terdengar sesuatu. Ah, bukankah itu bunyi air menderu!? Abdullah lantas berlari berpandukan nikmat telinganya, terus dia berjumpa dengan satu oasis yang padanya adalah Syurga!

Setelah bersedap-sedapan didalam air yang sejuk dan mendamaikan,dia kembali kedaratan, wajahnya ceria bak rembulan. Bukan itu sahaja, dia terjumpa makanan yang lazat dan menyelerakan, yang bersepahan disekelilingnya harta emas yang menyilaukan. Sungguh jika dia tidak mempunyai keluarga, sudah pasti oasis itu tidak akan ditinggalkan.

Setelah siap dengan semua bekalan, lantas dia berjalan berpandukan jam tangan berkompas yang entah dimana dia dapatkan, menuju kembali ke arah rumah yang sudah lama ditinggalkan. Hatinya girang, tiada gusar yang dirasakan. Namun sudah lumrah manusia, hidupnya satu ujian, lantas dia dihasut syaitan.

Terlintas dalam benakknya, pasti dia akan diapa-apakan, ataupun hidupnya tidak keruan, jika sahabat-handai dan kaum keluarga berdekatan melihatnya kaya-raya, bukan papa kedana seperti masa mereka itu ditinggalkan. Setelah berfikir panjang, lalu diambil keputusan, untuk menanam harta itu dengan tanda bayang-bayang segumpal awan, dengan hasrat satu masa nanti dia akan kembali menuntut habuan yang ditinggalkan.

Setelah sepurnama berlalu, dia kembali mencari harta yang disimpan, didalam perut padang pasir yang ganas dan buas kepada semua hidupan. Abdullah hampa, kerana tiada dijumpa awan yang memegang kunci tempat harta itu disemadikan,lantas dia tiada keruan.
Berjalan-jalanlah ia seperti haiwan, dengan harapan berjumpa semula dengan syurga didaratan, namun tidak kesampaian, kerana dia mati dipadang pasir keseorangan.
Adaptasi kisah Mulla Nasrudin, moga dapat mengambil pengajaran.

‘Tubuh itu “milik” mereka

Hari berlalu,
Engkau semakin dewasa,
Semakin dekat jua ke sana,
Entahkan kau ingat ataupun lupa.
Engkau mengkagumi susuk ‘tubuh’ itu,
Lantas segala kudrat dikerah kearahnya,
Dan segala pemikiran dan keringat dibuat modal berniaga,
Dengan niat agar tercapai cita-cita yang diidam bersama.

Tetapi engkau lupa!
‘Tubuh’ itu ‘milik’ mereka,
Mereka itulah yang menahan derita,
Bersusah payah membelanya, membangun dalam dan luarannya,
Bekorban diri, masa dan harta,
Sedang yang terbunuh juga bukan perkara luar biasa.

Disini bukan persoalan yang benar harus dinyata,
Pokoknya engkau sudah hilang adab tatasusila,
Apa hakmu mengata-ngata,
Menerajang mereka dengan kata nista,
Busuk jiwamu dek kotoran cela menghina,
Sedang dirimu sendiri terlalu banyak cacat dan cela.

Sudah,
Berhentilah dan insaf anak muda,
Kerana Tuhan telah menzahirkan petanda,
Supaya kau berhenti sebelum engkau binasa.

Atas Perintah Siapa?


Entah dari mana aku membaca, tetapi ada satu perkara mengingatkan aku kembali tentang isinya. Ianya tentang ciri-ciri pemerintahan, atau pengurusan, ah biarkah sahaja, yang penting sekarang adalah pokok perbincangan, sedang istilah dan epistimologi itu aku mahu hindarkan sebentar.

Cara pertama orang memerintah adalah dengan sepenuh kekuasaan, dengan gaya diktator yang menolak semua bantuan dan idea lain yang dalam pengurusannya, ataupun diambil idea yang baik sahaja sedang kemahuan orang bawahan ditolak serta merta.

Yang kedua, lebih demokrasi, dengan cara diambil kira pendapat orang bawahan, cuma keputusan tetap di tangan dirinya. Dalam versi yang lain pula, menerima idea orang lain, atau meminjamnya, sedang konsep pelaksanaan tetap dipilih sendiri, dengan meminta bantuan nasihat dan pandangan orang lain. Nisbahnya mungkin 70:30, atau 60:40, atau mungkin juga ratio dengan nilai-nilai yang berlainan.

Terakhir pula, (menurut diri ini yang terakhir, sedang jika ada penambahan silalah lakukan) adalah pemerintah atau ketua yang menabur proses membuat keputusan itu kepada seluruh anak buah atau orang bawahannya untuk dilakukan dengan gaya atau apa-apa cara menurut mereka, sedang dia melepas tangan, memerhati (ataupun tidak) dari jauh sahaja. Tidak perlulah digambarkan dengan lebih terperinci tentang spesies ini.

Mengapa diri menulis tentang perkara ini? Supaya mengingatkan orang bahawa kadang-kadang kerja yang kita lakukan perlu mengikut keperluan dan arahan dari ketua yang sedang menerajui, bukan dengan sesuka hati? Adakah itu tujuannya? Fikirlah sendiri..

Pilihan

Manusia hidup dengan dua keadaan. Satu keadaan, jalan dihadapan sudah sedia ditebarkan. Keadaan kedua, dia terpaksa mengambil pilihan dalam kehidupan. Ada perkara yang tetap akan berlaku, namun dengan pilihan juga boleh diubah dengan izin Tuhan.

Manusia terutamanya aku, yang juga seorang insan sering hilang pertimbangan dalam memilih jalan. Dari sekecil-kecil pilihan seperti pilihan menolak selimut didalam keheningan sehingga sebesar-besar perkara memilih pasangan (mungkin juga ada yang akan merasa tertekan) tetapi yakinlah, tiada kaitan.

Masa ini aku punya pilihan, dan semestinya pilihan yang ideal cabangnya dua sahaja. Sama ada menurut kawan, berpergian terbang meninggalkan laman, ataupun kekal, tekad dengan lemparan cabaran dan bentangan gerigi tajam merobek gelodak hitam dalam diri. Moga dikekalkan istiqamah dalam hati sehingga dijemput mati.
Marilah kita beriman walaupun sesaat

Syair Imam as-Shafie

"Kita kerap meyalahkan zaman ini, sedang keaiban sebenar adalah pada diri kita, tiada sebarang aib pada zaman kita, kecuali diri kita sendiri.

Kita kerap mencerca zaman ini tanpa jenayah dilakukannya.. kalau zaman tahu mengatur kata, tentulah ia mencaci kita kembali
Dunia kita adalah lakonan dan menunjuk-nunjuk..sebenarkan kita memperdaya Yang Maha melihat kita

Si serigala tiadalah pernah memakan daging rakannya .. sedangkan kita kerapkali makan daging semasa sendiri "


Peringatan untuk diri sendiri