Ar-Rizk


Assalam,
Tidak ku tahu apa muqaddimah yang baik buatku, tetapi seperti di suruh-suruh untuk menulis tentang satu sifat yang semakin hilang dari kanvas kehidupan dunia, padam dari senarai sifat orang 'Islam', semakin pudar dalam penghayatan manusia yang mengatakan merekalah pejuang di jalanNya, bahkan tidak mampu ku hayati walau secebis darinya.

Moga dengan kutulis sifat ini, menjadi peringatan kepada diri, supaya bersifat dengan sifat muslim sejati. Sifat Ar-Rizk, mungkin sesekali ditafsir oleh sesetengah manusia ialah sifat pemurah, tetapi sifat ini telah ditafsir dengan maksud lain oleh ulama' antaranya Ustaz Zulkifli Ismail yang memberi tafsiran iaitu sifat penyantun, lemah lembut, sopan santun kepada sesama manusia semata-mata kerana Allah. Insan yang bersifat Ar-Rizk tidak boleh tidak untuk jujur dan ikhlas menyantun dihadapan manusia, semata-mata untuk membuktikan cintanya kepada Rabb.

Tatkala dia berkata-kata, semua kalimah ditapis moga tiada yang terluka, tika melakukan perkara, dipastikan perbuatannya itu tetap santun hatta membuka pintu dan menutupnya juga dicuba sebaiknya tiada bunyi terhasil darinya,kerana khuatir ada manusia sakit hati mendengar bunyinya, tatkala meminta bantuan,tidak pernah keluar nada mengarah manusia, walaupun diminta bantuan dari isteri ataupun hamba sahayanya, terlalu banyak contoh untuk disebut untuk menggambar sifat mulia ini.

Manusia bersifat ar-Rizk sentiasa menahan kemampuannya untuk membalas kejahatan manusia lain terhadapnya, jika dia mampu membunuh ditukar dengan hukuman sahaja, jika dia mampu memberi penampar diganti dengan cubitan sahaja, jika dia berhak mengherdik dan meninggi suara, dipilihnya untuk berlembut dalam memberi teguran. Semua haknya diketepikan, semata-mata mencari redhaNya. Hanya ulama' sejati sahaja yang memiliki sifat selembut ini, entah bilakah diriku mampu bersifat sebegitu.

Namun diatas kesantunan itu, tidak menghalang dari sifat cemburu dan marah terbakar terhadap maksiat yang dilakukan kepada Allah. Apabila orang yang dikatakan penyantun, tetapi tidak bersikap responsif terhadap maksiat, maka tidak dilayak digelar memiliki sifat Ar-Rizk. Insan sebegini lebih marahkan anaknya sebagai contoh jika anaknya tidak solat atau melakukan maksiat lebih dari jika anaknya memecahkan pasu bunga ataupon meranapkan keretanya.
Contoh terbaik pastinya Rasullullah yang sentiasa sopan dalam berhubungan. Tetapi terasa ingin membawa contoh sahabat, Khalifah Umar ibn Al-Khattab. Pada satu malam beliau meronda didalam kegelapan seorang diri, untuk melihat nasib rakyatnya di kota Madinah. Apabila sampai di hujung kota, dilihatnya seorang lelaki bersama khemahnya sedang kesedihan. Lalu bertanyalah Umar,"wahai saudara,siapakah kamu dan mengapa kamu bersedih? ". Lalu dijawab "aku baru sampai di kota ini, aku berhijrah ke sini kerana aku mendengar ada seorang pemerintah yang adil dan aku ingin bernaung dibawahnya" tanpa mengetahui Umar ada di depan matanya. Lalu dia menyambung " aku bersedih kerana kerana isteriku didalam khemah hendak bersalin tetapi tiada siapa yang ku tahu meminta bantuan untuk membidankan dia". Lalu Umar bergegas mencari isterinya sendiri (bayangkan pemerintah tidak sesuka hati memerintah rakyatnya yang lain) lalu dikatakan dengan sopan dan bukan dalam nada mengarah, "wahai isteriku, adakah engkau mahu mendapat pahala dikala kegelapan malam ini,jika engkau mahu marilah engkau mengikutku". Amatlah sukar mendapat pemerintah sesantun ini, dengan isterinya turut beliau bersantun. Pergilah mereka berdua ketempat itu tadi sambil Umar sendiri membawakan makanan untuk musafir itu. Apabila selesai membidankan, lalu isterinya yang telah terbiasa memanggilnya dengan gelaran Amirul Mukminin berteriak, " ya Amirul Mukminin, khabarkan kepada sahabatmu itu bahawa dia telah mendapat anak lelaki" . Terkejutlah lelaki tadi itu mendengarkannya lalu dia bertanya,"engkaukah pemimpin yang adil yang disanjungi rakyat itu? engkaukah..." dan berbagai-bagai pertanyaan tetapi Umar al-Khattab hanya bersahaja dan terus bangkit dan berkata, " aku ingin menyediakan makanan untuk kita semua"

Moga aku dapat menghayati sifat ini..

1 comments:

Anonymous said...

moga aku juge dpt menghayati sifat ni. thanks friend.