Seminar bersama Sheikh al-Qodahi


Baru sahaja usai berseminar, di Masjid Shah Alam, dengan tajuk Seminar Baldatun Toyyibah, Model Andalusia. Seminar yang membincangkan untuk menghidupkan semula tradisi negeri Islam pertama yang syahid,seperti mana yang diungkapkan oleh Prof Madya Dr Ahmad Zaki,untuk di interpretasikan semula dalam pentadbiran negeri Selangor.

Menarik juga, apabila disogokkan dengan perbincangan ilmiah, maklumlah diri yang jakun sedikit, namun sedikit sebanyak terkenang negeri yang dicintai, entah bila negeriku dapat menjadi matang seperti itu,sedangkan ada dari kalangan pembentang yang mengatakan sudah agak terlewat untuk berdiskusi tentang tradisi Al-Andalusia ini, tetapi bagaimana negeriku? Bukankah lebih jauh jangkauan vakum kecicirannya?

Adalah sesuatu yang amat penting peranan pemimpin yang bijaksana yang berteraskan ilmu yang kukuh dan mantap untuk membawa rakyatnya ke arah kehidupan yang di redhai. Lihat sahaja tradisi ilmu pemimpin zaman dulu, bagaimana Al-Hakam, pemimpin zaman Andalus ketika itu yang memiliki 400 000 buah buku, yang semuanya telah hadam di bacanya sehingga di gelar kutu buku? Bagaimana pula Amir Yahya bin Ibrahim yang memutuskan untuk mewakilkan pemerintahan seketika kepada anaknya tatkala dia sendiri keluar mencari ulama' sehingga berguru dengan al-Imam Abu Imran al-Fasi dalam bidang ilmu fiqh di bandar Qairawan, Maghribi?

Penghormatan terhadap ulama' sangat tinggi, sehingga tidak akan digelar sesuatu kawasan itu sebagai istana (bukan bermaksud tempat tinggal khalifah sahaja), sehingga didalamnya tinggal sekurang-kurangnya ulama atau fuqaha' yang muktabar. Khalifah Abdul Rahman III pernah di tegur kerana tertinggal solat jumaat oleh seorang Qadi bernama Munzir al-Balluti. Ketika ditanya oleh puteranya samada beliau mahu memecat Qadi tersebut Sultan menjawab, : "aku lebih rela memutuskan hubungan denganmu, tapi aku tidak akan memecat Qadi ini yang merupakan nikmat Allah SWT kepada kita semua. Aku akan solat Jumaat dibelakangnya selagi dia masih hidup"

Jika itu sikap pemimpin mereka, tidak hairanlah jika pada abad itu, di bandar Cordoba sahaja terdapat 500 000 penduduk memiliki 700 masjid, 70 perpustakaan awam , 50 hospital yang semuanya percuma, yang pastinya berkelas dunia. Terlalu banyak lagi perkara yang boleh diperah dari ketamadunan Andalusia dahulu.

Ada satu petikan yang menarik dari pembentang; " jika dilihat dari sudut kesedaran minda dan pengetahuan masyarakat dalam kesediaan membuat perubahan, Selangor agak seimbang dengan negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Perak dan Kedah, melebihi negeri-negeri di pantai barat tetapi tidak mengatasi kesedaran membuat perubahan oleh masyarakat negeri Kelantan umpamanya"

Namun agak janggal, kerana diri dan sahabat sahaja yang kelihatan dari golongan muda, audiens yang lain dari golongan tua, namun wacana dari perwakilan sangat di kagumi, mungkin ahli dari Persatuan Ulama Malaysia sahaja yang berada di sana, sedang kami tercampak seketika. Agak kesian juga dengan seorang ustazah (mungkin tarafnya nenek kepada kami), yang berbicara di sesi soal jawab,sudahlah lama berceloteh di pembesar suara, hampir 5 minit mungkin, rupa-rupanya bukan hendak bertanya soalan, sekadar memberi komen sahaja, (isk3).Lantas kami jadikan dia bahan ketawa, entah apa dosa nenek itu kepada kami, mungkin dosa mencuri masa pembentang agaknya.Seronok juga berada dengan orang tua, mungkin kerana seperti ada sebab untuk tidak serius sentiasa, kerana kami orang muda.
Moga diskusi membuahkan hasil, tidak terhenti begitu sahaja. Sahabatku sheikh al-Qodahi (bukan nama sebenar) sangat terkesan sehingga berazam memiliki sekurang-kurangnya separuh dari koleksi al-Hakam, tetapi tebal bukunya tidak ku tahu di tahap mana, entah di setebal buku tulis sekolah atau tebal kamus dewan bahasa.

0 comments: